Friday, February 2, 2018

QAISER (Bab 6)


Bab 6



TENANGNYA suasana pagi-pagi macam ni. Rasa macam dah lama sangat aku tak berjoging. Nak joging macam mana Qai, lepas solat subuh aje terus lelap balik. Sejak-sejak pegang jawatan CEO ni, rasa macam penat sangat. Penatnya kat otak tapi lemah sampai satu badan.

Hari ni pun sajalah aku merajinkan diri, berjoging sambil ambil angin pagi. Segar sangat. Hmm... aku plan nak pergi kerja lambat sikit. Meeting pukul 10, jadi setengah jam sebelum tu aku baru gerak. Alah, bukan selalu pun aku datang lambat.

Aku mendepakan kedua belah tangan. Mata aku pejamkan. Membiarkan tubuh disapa angin pagi.

Terkejut aku bila ada orang peluk pinggang aku dari belakang. Pantas saja aku menoleh, siap nak melibas orang yang peluk aku tu. Tapi tak jadi bila aku dah tahu siapa empunya diri yang sengaja nak kenakan aku tu. Aku merenung dia, tajam. Melihatkan dia mengekek ketawa, buat aku rasa macam nak...

“Bongok eh, kau? Aku terajang karang, sia-sia aje koma setahun.” makiku. Geram aje aku tengok si Danish yang masih ketawa tak henti-henti tu.

“Weh.. Hahaha.. Weh, muka kau.. Hahaha..” Dia cakap sepatah, ketawa satu perenggan. Sampai berair mata dia ketawakan aku. Hawau betul.

“Lawaknya.. Hahaha.. Lawaknya.. Hahaha..” Dan dia terus ketawa dan ketawa.
Geram punya pasal, aku luku kepala dia. Ambik. Padan muka. Perangai macam apa. Nasib aku tak terjun tasik depan tu.

“Apahal tu, Qai?” teguran dari sebelah kanan membuatkan aku menoleh. Berdiri DR dan Damien disitu. Kelat muka Damien tak aku hiraukan. Aku melangkah mendapatkan mereka.

“Entahlah Dany tu. Mental koyak teruk. Kau bila balik?” Saja aku tanya, beramah mesra. Tak ada sebab untuk aku tarik muka dengan DR. Dengan Damien pun aku senyum juga, tapi dibalas dengan jelingan. Okey, malas nak layan.

“Baru sampai sebelum subuh. Malas nak tidur, tu yang ajak Damy dengan Dany joging. Eh, thanks tau sebab ambilkan adik aku semalam. I owe you.”

“Benda kecil aje. Cuma itulah, lambat sangat aku sampai. Ada meeting dengan client.”
Dia senyum. Aku tengok DR tak ada apa pun, Damy aje yang lebih-lebih marahkan aku. Sebenarnya, aku difitnah dengan Delisha ke atau isteri dia, Bella?

Danish pula merapatkan dirinya padaku. Dia masih dengan sisa tawanya. Aku siku perut dia. Dia terus tutup mulut dia dengan tangan, tapi ketawa lagi. Bengong.

“Aku tak kisah pun lambat tu, umi dengan ayah aku yang bising. Si Naqib tu lari dari bodyguard dia. Tu yang risau jadi apa-apa kat dia. Tak tahulah budak tu, lain pattern sikit. Dia ada susahkan kau ke?”

Aaahh... Susahkan? Susahkan tu tak ada. Sakitkan aku adalah. Sakit hati. Dah ditolong, aku pulak difitnahnya. Memang lain pattern budak tu. Biasa anak hartawan ni behave aje, yang dia pulak?
Haiii... Lemah sendi-sendi nak cakap.

“Tak ada apalah. Dia okey aje.” Macam rela tak rela aje aku cakap macam tu. Ikut hati, nak aje aku hamburkan semua perangai si Naqib tu. Dahlah mulut tak ada insurans, buat pulak fitnah pasal aku dengan Delisha. Tak sampai sehari pun dia kat sini, dia dah buat hidup aku kacau-bilau.

“Betul ke dia okey? Susahnya aku nak percaya.” Bila DR cakap macam tu, maksudnya DR pun tahulah perangai sebenar dia.

“Alah, kau tak payah nak kisahlah pasal semalam tu. Qai ni memang suka tolong kau, lagi-lagi kalau kau tak ada.” Celah Damien. Satu ayat tu saja dah buat tiga bibir yang tadinya tersenyum, hilang serta merta. Spoiled.

“Jom breakfast sama, pagi-pagi ni kalau pekena teh tarik pun best.” DR cuba tarik kembali suasana. Dia nampak malas nak ambil kisah apa yang Damien katakan. Bagus DR, aku suka cara kau mengendalikan emosi dan keadaan.

“Hmm.. Tak..”

“Haa.. Jom.. Jom.. Aku pun dah lapar ni.” Terus aja Danish tarik tangan aku. Kami berjalan mendahului Damien dan DR.

“Kau tak nampak ke muka Damy tu macam mana? Kau nak tengok ke kita orang buat scence tarik-tarik telinga kat kedai makan?”

“Kau ingat aku dengan DR nak biarkan kau orang main tarik-tarik telinga? Memang taklah. Cumanya aku nak kau nampak steady depan Damy. Biar dia lagi sakit hati. Kau rileks aje. Tak payah layan mamat emo tu.” Ni dia tuan penasihat aku. Memandai aje. Dia tak kena, bolehlah cakap rileks. Cuba kalau dia yang kena kutuk macam tu, baru dia tahu macam mana sakitnya hati aku.

“Tapi tadi.. Hahaha.. aku tengok muka kau pucat habis. Hahaha.. Kau ingat siapa yang peluk kau, ha?” Dia sambung lagi gelak, tapi tak sekronik tadi.

“Bongok, kan kau. Aku mati-mati ingat perempuan yang peluk aku. Kalau aku tahu kau, lama dah aku tendang tuttt kau.”

“Weh, ayat keji.” Dan tawa aku bergabung bersama tawanya.
Tiba-tiba aku jatuh kasihan dengan diri aku sendiri. Agaknya, sampai ke tua ke hidup aku hanya akan ditemani dan dihiburkan oleh Danish dan Bawang? Alamak aii, tragisnya hidup aku dimasa tua nanti.



MAKAN dah makan, kenyang pun dah kenyang. Tapi masing-masing tak bergerak lagi dari tempat duduk. Aku jengah jam diskrin iPhone, kurang dua puluh minit nak pukul lapan setengah. Tak apa, ada masa lagi nak bermalas-malasan. Agak-agak pukul sembilan aku balik, mandi, siap-siap, dalam pukul sembilan empat puluh bolehlah gerak ke ofis. Bukan jauh mana pun ofisnya.

Aku pandang mahluk-mahluk dihadapanku. Semua tengah tunduk, tekun main smart phone. Inilah hakikat yang aku, kau dan kita semua kena hadap bila duduk makan dengan member-member. Tak kisahlah member mana pun, sama saja. Bila dia orang pelawa nak ajak lepak dan berborak tu, janganlah percaya. Term lepak tu bunyinya fake sama sekali. Sebabnya, dari awal kau sampai, sampailah makanan dah siap dihadam, tak sampai dua topik pun bahan yang kau orang borakkan.

Selebihnya, kau orang akan ‘berborak’ kat dalam phone. Contohnya, salah seorang dari member kau tu akan selfie dengan kau orang, lepas tu update kat IG, mention nama kau orang, share terus ke FB dan disitulah kau orang akan ‘berborak’. Berborak tapi sepi. Betul tak?

Dan insan-insan seperti aku, yang terlebih sel-sel malas nak menghadap handphone inilah yang akan merasa betapa seksanya duduk melangut sambil mata duk perhati orang yang keluar masuk kedai mamak ni.

Dulu-dulu, waktu zaman kegemilangan geng lima bersaudara aku tu, memang taklah nak melepak lepas tu masing-masing main phone. Kalau ada pun sebab hal-hal penting aje. Lagi pun, beranilah kau nak meralitkan diri dengan dunia lain bila tengah hang out dengan dia orang, sah-sah kena luku dengan Delisha tak pun kena bebel dengan Ken.

“Kau kalau setakat nak duduk sini tayang muka tapi borak dalam phone, baik balik. Kita borak dalam whatsapp group aje.” Tu memang ayat win dari Ken.

Agak kalau sekarang aku guna ayat tu, apa yang akan jadi ya? Mungkin ke aku akan dihalau balik atau paling tak pun aku kena sound balik dengan si Damien tu? Tapi tak apalah, aku tak rasa nak bagi ayat tu kat dia orang pun. Dahlah DR tu bukan calang-calang orang.

Tiba-tiba DR yang duduk di hadapanku, letak telefon atas meja. Sekali dengan ipad Mini dia tu. Dia senyum pandang aku. Aku angkat kening aje. Tak faham kenapa tiba-tiba dia senyum.

“Checking my schedule just now. Tak sempat pun nak Tweet.”
Aik? Rasa aku, aku cakap dalam hati aje tadi. Apasal dia boleh tahu pulak?

“Kau punya muka bosan, jelas sangat Qai.” Macam biasa, Danish kalau tak gelakkan aku memang tak sah. Mujur jugalah lepas apa yang berlaku antara aku dan Delisha, hubungan aku dan Danish tak terjejas. Masih akrab, malahan semakin akrab.

“Dah memang aku bosan.” Jawab aku bersahaja. Aku kerling Damien yang masih dengan telefonnya. Biarlah dia melekat dengan benda tu, karang kalau dia bercakap, meletup-letup pulak hati ni.

“Kau ni pun, cuba jangan narrow minded sangat.” Aku pulak Danish kata otak sempit. Tak pasal-pasal aje.

“Aku pulak narrow minded?” Aku tuding jari kat muka sendiri. Danish selamba angguk. Tak ada rasa bersalah langsung lepas cakap aku macam tu.

“Kau dengar sini. Tak semestinya orang yang asyik belek phone ni dia sibuk dengan social media aje sampai jadi anti social. Betul tak DR? Look, DR sendiri sibuk cek schedule dia guna phone. Sekarang ni, apa-apa pun mesti phone. Kalau tak ada phone, orang boleh gila tau.”

Bahagian yang tu aku setuju, sebab aku pun bergantung sepenuhnya pada telefon dan iPad dalam menguruskan jadual harian aku dan menyimpan macam-macam data. Kalau benda tu hilang atau rosak, rasanya bukan setakat gila, meroyan pun boleh jadi. Mungkin lepas ni aku patut ada satu lagi gadjet untuk back up file tu semua. Sebelum jadi, baik aku ambil langkah berjaga-jaga.

“Dalam sepuluh orang, aku rasa lima orang aje yang gunakan smart phone untuk manage kerja apa tu semua. Lain-lain? Kau sendiri?” Betul apa? Bukan semua orang pun gunakan telefon pintar untuk urusan kerja.

“Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Tapi Qai, nak taknak memang kena admit yang media sosial ni sekarang dah jadi kepentingan semua. Not just for funs, for friends, ada aje orang guna media sosial ni untuk berniaga. Kan?”

Haa... yang ni aku setuju. Ya tak ya jugakan. Sekarang ni, nak beli apa pun semua kat hujung jari aje. Tekan-tekan, terus sampai depan pintu rumah.

“Kau tengok Bella sekarang. Customer dia lagi ramai beli thru online. Jaranglah yang walk in. Yalah, guna online pun lebih jimat masa. Tak payahlah bersesak-sesak, berkejar-kejar nak ke butik. Pilih, bayar, esok dah sampai kat rumah.” Tambah DR lagi sambil mata mengerling Damien yang masih sibuk dengan telefon bimbit dia.

“Yalah, Qai. Del sekarang pun dah start bisnes online tau. Macam-macam juga dia jual, tapi semua pun dia borong kat Thailand dan China. Kan DR?” celah Danish pula.

Ooh.. Aku baru tau pasal Delisha dah mula berniaga sekarang ni. Bosan agaknya duduk kat rumah tak buat apa. At least, ada juga benda yang boleh dia buat sambil-sambil tu, kerja sebagai surirumah tu tak terabai. Eh..?

“Macam mana nak start meniaga macam tu? I mean, nak cari barang ke apa. Aku ingat nak bagi Sara try meniaga online jugaklah. Dia tu sibuk asyik nak kerja aje. Aku kesian kat Ayien dengan ayah nanti sunyi kat rumah.” Dari Qaisara kerja di luar, baiklah dia kerja di rumah. Boleh jaga Ayien, boleh teman ayah. Untung tak banyak mana pun tak apa, buat duit poket dia. Buat isi masa kebosanan dia tu.

DR merapatkan badan pada meja. Ni yang malas ni. Bila cerita bab bisnes aje, muka DR mesti serius dua tiga macam. Naik cuak aku.

“Del dulu start dia ambil barang dari middle man. So dapat barang dah agak mahal, jual pun dia mark up sikit aje, dah jadi mahal pada customer. Then dia decided nak ambil sendiri barang tu dari kilang. Tu yang dia ikut bussiness trip to China and Thailand. Sekarang ni dia memang direct dari kilang, dapat murah gila. Jual pun untung satu barang dia ambil tak sampai 50%. Okeylah, dia minat. Aku tolong mana yang patut aje.” Wah, macam menarik.

“Dari mana dia dapat trip tu?” Rasa bersemangat sikit bila cerita ni berkisar pada Del. Tak.. Niat aku nak tahu pasal bisnes dia aje, bukan ada niat lain pun. Tapi disebabkan bisnes ni berkait dengan Delisha, semangatnya tu jadi luar biasa sikit.

“Entah dia tu. Main tekan aje kat instagram, jumpa pula. After all, memang okeylah. Servis pun okey. Aku ikut juga pergi masa tu, memang barang kat sana banyak sangat. Macam-macam ada, murah pula tu. Bila dapat barang harga murah, nak jual murah pun tak risau rugi. Tapi kena check betul-betullah. Sebab nak cari barang yang high quality with lowest price ni bukan senang. Kau nak try ke?”

“Aku?” Aku tuding pada diri sendiri. Kerja kat ofis aje tak pernah habis. Mana nak cari projek, mana nak siapkan projek, mana nak supervise pekerja, mana nak menapak ke site. Hai, memang taklah kot.

“Kalau boleh klonkan aku jadi tiga, bolehlah rasanya.” Kami tergelak. DR tentu saja faham. Aku yang bisnes cikai ni pun dah tak cukup kaki tangan, dia yang bisnes gempak tahap tak ingat tu apatah lagi.

“Hahaha.. Boboiboy kuasaaaa tigaaa..!!” Danish mencelah siap buat gaya Boboiboy nak bertukar. Pengaruh kartun terlebihlah dia ni pun.

“Aku nak tolong Sara carikan kerja yang boleh dia buat kat rumah sambil jaga Ayien tu. Dia sibuk sangat nak kerja kat ofis. Aku bukan tak bagi, tapi risau Ayien tu. Memanglah nursery banyak, tapi rasanya elok ibu dialah yang jaga sendiri, kan.”
DR angguk.

“Betullah. Sekarang ni kes dera melampau-lampau. Aku pun naik seram bila baca kat paper, tengok kat news. Scroll FB pun selalu aje nampak kes-kes macam ni. Memanglah bukan semua penjaga macam tu. Kira yang dapat penjaga yang boleh jaga anak kita macam anak sendiri tu, memang untung sangat.” celah Danish.

“Tu sebab aku tak nak Del kerja. Nasib baik bisnes abah tu ada Is boleh handle, ringan sikit beban abah.” Tambah DR.

“Pasal tu juga aku tak boleh selalu jumpa Is. Sibuk memanjang. Sekejap kat Kluang, esok dengar dah kat Segamat, lusanya bila tanya dah sampai kat Melaka, tulat pula tahu-tahu dah ada kat Taiping. Sampaikan berpuluh kali call, sekali pun susah nak jawab.”
Danish buat muka herot. DR tersengih.

“Ala. Nanti dah kahwin jumpalah tiap hari puas-puas. Tak ada orang kisah pun.” Usikku.

“Ha’ah, yalah tu. Silap-silap aku sanding pun kat kedai abah sambil Is siapkan report account kat atas pelamin.”

Aku dan DR tergelak besar dengar dia merungut macam tu. Sebenarnya, sampai sekarang aku tak faham macam mana Is boleh terima pinangan si Danish yang pernah dan rasanya masih pegang tittle buaya jadian tu. Nak kata pernah bercinta, tak ada pula. Elok tak sampai setahun lepas kejadian yang Delisha koma tu, Danish datang rumah aku lepas tu tanpa ditanya, dia cakap pada aku:

“Aku macam nak masuk minang si Is tu lah. Mesti dia takkan tolak, kan? Lusa okey kot, sebab lusa birthday aku.”

Aku ingat masa dia cakap macam tu, dia baru lepas minum air ketum. So, aku anggap lusa takkan ada apa-apa yang akan berlaku. Sekali tu, lusanya dia whatsapp aku gambar mama sarung cincin kat Is yang masih beruniform kerja. Background memang sah-sahlah kat kedai. Tapi aku nampaklah ada famili Is kat situ.

Kadang-kadang, confident level orang yang bergelar buaya jadian ni memang tak mampu nak diramal. Kan? Nasib baik tak kena reject!

“By the way, Qai. In case kau berminat nak Sara join Del as partner ke apa, kau discusslah dengan Del macam mana. Del tu pun aku tengok kesian juga, asyik memerap aje kat rumah. Nak pos barang customer pun dia suruh Hans tak pun Mok. Bila ada aku ajelah dia nak keluar berjalan. Kalau tak, memang taklah dia nak keluar. Dia rimas bila kena escort dengan bodyguard. At least kalau ada bisnes partner, taklah dia bosan sangat.” Yalah, nak buat macam mana. Kahwin pun dengan jutawan, langkah keselamatan kenalah ambil.

“Tapi Sara dengan Del kan..” Bicara Danish mati disitu. Baguslah kalau Danish pun faham.

“Slowly, lah.” Ujar DR.

“Nanti aku bincang dengan Sara dulu. Tapi kan, kenapa Del tak nak buka kedai aje? At least senang sikit kot customer yang nak walk in.” soalku, berminat nak tahu. Tapi rasanya soalan aku tu dah lari channel kot sebab tiba-tiba aje Damien angkat kepala, tengok aku macam aku baru lepas mengaku tengah bercinta dengan bini dia. DR muka steady aje. Tak terkejut pun macam dia.

“Malas, dia kata. Nak tunggu Laila besar sikit. Tapi tak sempat Laila besar, nak dapat adik pula. So terpaksa tangguh lagi. Buat masa ni, dia selesa meniaga macam tu. Tak terikat dengan masa.”

‘Laila nak dapat adik.’ ‘Laila nak dapat adik.’

Aku senyum, mengangguk. Mengiakan kata-kata DR. Tapi entah kenapa, aku melarikan anak mataku ke arah lain. Dan senyuman yang tergaris seakan herot. Ya Allah, bertahun aku berjaya, kenapa hari ni, di hadapan mereka aku harus kantoikan perasaan aku? Janganlah ada yang perasan. Lagi-lagi si Damien tu.

“Apasal kau nampak vibrance bila cakap pasal Del, eh?” Dushh..!! Terkena juga aku. Walaupun soalannya bukan tentang senyuman aku yang senget tadi tapi aku tahu ke mana hala tuju soalan ini nanti.

Aku angkat kening, double. Dengan isyarat aku bertanya, seakan tak faham dengan soalan tadi. Sebenarnya, aku tengah cari jawapan untuk soalan tu.

“You know what I mean.” Tekan Damien dengan muka ketat dia.

“Damy..” panggil DR supaya mood ‘hangat’ ni dihentikan.

“Nope. Aku tak puas hati selagi apa yang ada dalam kepala aku ni tak terjawab.”
Aduhai.. Dia dah start dah. Aku toleh Danish. Dia pun tergeleng dengan sikap abangnya. Kesal ada, menyampah pun ada.

“Yang kau terlebih emo ni apahal? DR cool aje pun.” Keluh Danish.

“Because I know there’s something wrong about him, about Del, about them.”

“Weh, if there’s something wrong pun, kenapa kau yang rasa pula? Bukan DR ke yang patut lebih tahu?” jawab Danish lagi. Aku pun tak tahu nak selit kat mana, biar ajelah ‘tuan penasihat’ aku yang tolong jawabkan.

“DR wasn’t around. Mana dia nak tahu apa dah jadi antara Del dengan Qai. So, as a broth..”

“You weren’t act like a brother lah, brother. Lebih pada batu api kot ada. Apa kata, selagi DR tak kata apa-apa, kau tak payah nak jadi busuk hati menghasut mengapi dia. As long as Del’s husband not feel that ‘something wrong’, I think everything is okay. Kan DR?” Selamba aje si Danish ni sekolahkan abang dia depan kita orang. Tak pasal-pasal muka Damien naik merah. Malu kot. Betullah, usia adakalanya tak mampu mematangkan kita.

DR angguk saja dengan wajah yang meyakinkan aku bahawa semuanya okey pada dia. Jadi, yang menjadi masalah bukanlah DR, tapi si Damien tu. Sampai bilalah aku akan jadi pesalah dimata dia?

“Eh, Qai. Aku nak tanya sikit, lah. Tu pun kalau kau tak kisah.” Tiba-tiba nada DR berubah dan aku yakin dia nak ubah topik.

“Tanya apa?” pelik juga sebab DR nampak macam tak sabar nak soal aku.

“Syarikat kau ada dapat projek besar ke?” Aik?

“Projek besar? Besar yang macam mana?” pelik pula bunyi soalan dia ni.

“Macam projek bina istana ke?” Haa? Aku rasa tulang rahang aku nak terjatuh sebab ternganga besar sangat. Projek bina istana? Besar betul tu. Aku ingatkan aku aje yang ternganga, rupanya Danish pun sama.

“Belum pernah dapat lagi rasanya. Kalau istana pasir tu mungkinlah kot. Kenapa kau tanya macam tu?” jawapan bersahajaku membuatkan Danish tergelak-gelak.

DR silang kaki. “Bukan, aku dengar dari staf aku semalam yang syarikat kau nak order barang kristal dari Venus Furniture. Betul ke?”

Haaa, ni kira isu paling hangat dalam syarikat aku sejak semalam. Tak sangka boleh tersebar sampai ke syarikat orang lain. Dan isu ni tak pernah habis untuk dibahaskan. Selepas perbualan aku dah ayah petang semalam tu, aku dah malas nak bertanya lagi dengan ayah. Sebab ayah seakan sudah menutup perbincangan kami dengan arahannya supaya aku turunkan saja tandatangan.

“Mana ada projek besar pun. Ayah aku suruh renovate ofis General Manager aku tu. Habis semua benda nak ditukar dengan barang kristal. Makan ratus ribu kot untuk satu bilik tu aje.” Ceritaku dengan nada tak puas hati.

“Haa? Serius ke? Siapa GM kau tu? Dia ke yang minta renovate?” DR sendiri nampak tak percaya. Weh, bilik DR yang berpangkat Director tu pun tak segempak ni tau.

“Wow!! Dasyat!” sambut Danish. Aku mencebik.

“Mana ada orang lagi untuk position tu. Sejak aku naik pangkat, jawatan tu memang ayah aku suruh kosongkan, tapi aku tahu ayah aku memang dah ada calonnya cumanya dia taknak bagitau aku ataupun sesiapa. Entah anak raja mana agaknya yang pegang jawatan tu sampai semua benda nak kena kristal.” Bebelku.

“Aku rasa perempuanlah GM baru kau tu. Dia Cinderella kot.” DR tergelak-gelak. Aku mencebik. Cinderella datang dari mana? Menyusahkan aku aje. Dulu aku ingat, orangnya lelaki. Yalah, aku pakai agak-agak aje. Tapi macam bukan. Haih, pening betul nak fikir.

“Aku rasa kalau betul dia perempuan, mesti dia ni terlebih tengok cerita Cinderella. Dah kalau sampai pen pun nak kristal, kau tak pelik?” DR dan Danish tergelak lagi. Lucu sangatkan bunyinya.

“Aku tak pelik kalau dia perempuan dan dia feeling nak jadi Cinderella. Yang aku pelik kalau dianya lelaki. Cuba kau bayangkan.” sela Danish.

Melambak lagi tawa DR. Dan aku terbayangkan seorang lelaki yang berjalan terkepit kaki dengan muka bertepek dengan bedak setebal 14 inci. Matilah, nak!!

No comments:

Post a Comment

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post