Wednesday, September 27, 2017

QAISER (Bab 1)

Bab 1



TUALA yang melilit di pinggang, aku rungkai setelah siap mengenakan slack dark brown. Lagu dari pemain mp3 memeriahkan ruang kamarku. Pagi-pagi buka lagu techno, mahu tak segar. Kemeja putih lengan panjang yang sudah siap diseterika, aku ambil dari penyangkut lalu aku sarungkan pada tubuh yang sasa.

Sikat di meja solek aku ambil, namun pergerakkanku terhenti bila lagu techno dah bertukar. Sentap. Apasal iphone aku pusing lagu Aiman- Cinta Terakhir ni, ha?




Kau cinta pertamaku,
Kau cinta terakhirku,
Tiada apa yang bisa,
Menafikan kasih kita..
Kau ayu di mataku,
Satu antara seribu,
Tiada tara di dunia..

Aku tenung wajahku yang terpantul dari cermin kaca. Tiga tahun telah berlalu. Dan aku? Aku masih begini. Aku masih lelaki yang sama. Lelaki yang pernah mencintai dan dicintai oleh teman baik sendiri. Dan akulah lelaki yang pernah berkorban segalanya untuk si cinta hati.

Hanya aku yang mampu melakukan pengorbanan sebesar itu. Pengorbanan yang akhirnya membuatkan aku hilang insan yang aku cintai sepenuh hati. Aku cuba reda, demi kebaikkan insan yang aku sayang, aku terima semua ini sebagai takdir hidupku.
Tapi siapa sangka, perginya dia, diheret bersama hatiku sekali. Dan kini, aku tak punya hati untuk mencintai apatah lagi untuk dicintai oleh insan lain. Bukan niatku untuk terus menyimpan rasa pada si dia yang kini sudah bergelar seorang mama, tetapi aku tak sanggup untuk meminta kembali hatiku dari si dia.

Adakah sesiapa sedar kesakitan yang aku lalui hingga ke hari ini? Kesakitan tatkala melihat si dia tertawa bahagia bersama suami dan anaknya. Kesakitan tatkala melihat kemesraan mereka. Adakah sesiapa yang sedar?

Aku tergelak, pedih. Perit. Sakit. Tak ada. Tak ada sesiapa yang tahu sakit yang aku deritai kerana aku sangat ‘kuat’ di hadapan mereka, sedang hakikatnya? Aku tumbuk dada kiriku sendiri. Sakitnya tu, di sini..!

Kau ayu di mataku
Satu antara seribu
Tiada tara di dunia
Mungkin kan terputus di tengah jalan,
Mungkin kan terlerai tanpa ikatan,
Usah ragu dengan takdir..
Mungkin kita kan berbeza haluan,
Berakhirnya cerita percintaan,
Segalanya ketentuan Tuhan..


AKU melangkah santai menuruni anak-anak tangga. Tiba di pertengahan tangga, telinga dah menangkap keriuahan anak saudaraku yang sibuk menceceh itu ini. Aku melajukan langkah. Tiba di ruangan dapur, aku lihat Ayien yang berusia setahun lebih sedang duduk di kerusinya sambil mata memerhati ibunya memasak.

Ayien atau nama sebenarnya Qazrin, penyeri semula kehidupan keluargaku setelah pemergian arwah ibu tiga tahun yang lalu. Hadirnya membawa sinar, menyuluh hidup ayah, Qaisara dan aku sendiri. Hampir setahun pemergian arwah ibu, ayah memutuskan untuk tidak lagi memanjangkan usia pertunangan Qaisara dengan Saiful. Bukan ayah yang mahukan pertunangan mereka dilanjutkan tetapi atas permintaan Qaisara yang mahu menghormati pemergian arwah ibu.

Ayah selalu pesan pada Qaisara, pemergian arwah ibu adalah ketentuan Ilahi. Bukan salah sesiapa. Bukan salah Delisha. Bukan juga salah Hunter yang mengugut aku. Tapi pada Qaisara, Delisha tetap orang yang menjadi penyebab kematian arwah ibu. Maka kerana itu, hingga kini Qaisara terus memusuhi Delisha.

Entahlah, susah untuk aku katakan. Siapa aku hendak membetulkan semua tanggapan Qaisara itu? Dia punya perasaan, dia buat apa yang dia rasakan betul. Kesakitan dan kesedihan saat kehilangan arwah ibu, kami yang rasa bersama. Biarpun Delisha rapat dengan arwah ibu, tapi Delisha bukan darah daging arwah ibu, jadi dia tak mampu selami kesakitan kami. Namun, aku tetap berharap, satu hari nanti Qaisara akan terima Delisha semula.

“Abang. Termenung apa?” Teguran Qaisara membawa aku kembali ke alam sebenar. Segaris senyuman aku berikan pada satu-satunya adikku. Dia menggeleng melihat sikapku.

“Ayien..” Aku mengagah Ayien yang sedang meramas biskutnya. Dia mengekek ketawa sambil menghentak-hentak biskutnya.

“Biskut ni macam habis kat tangan dia aje, Sara. Macam tak masuk perut pun.” Ujarku sambil terus melihat tingkah Ayien. Habis hancur separuh dari biskut yang dia pegang. Qaisara tergelak.

“Bukan macam lagi, memang habis kat tangan dia pun. Gigit sikit-sikit lepas tu hancur dibuat gendang.” Jawab Qaisara sambil terus ligat menyusun atur hidangan untuk sarapan pagi. Sejak arwah ibu pergi, Qaisara bertanggungjawab menguruskan makan minum kami di rumah. Mujur waktu itu Qaisara sudah tamat pengajiannya. Dan mujur juga Qaisara dah habis menuntut ilmu rumahtangga dari arwah ibu, dapatlah dia manfaatkan ilmu tu semua.

Aku usap kepala Ayien, dia tersenyum suka. Dalam tak sedar, aku turut tersenyum sama. Bahagianya hidup kalau ada anak sendiri. Tak apalah, tumpang anak orang pun okey apa.
Aku jengah pintu dapur. Mana yang lain?

“Sara, Saiful dengan ayah mana? Tak turun sarapan ke?” Aku jengah jam di tangan pula. Aik, pelik ni. Biasa masa macam inilah kami akan bersarapan bersama.

“Ayah dah keluar pagi-pagi lagi. Sarapan dengan kawan dia. Saiful pula ada meeting dengan ketua dia pagi ni. Tu yang keluar awal.” Qaisara jawab sambil meletakkan teko kopi di hujung meja. Dia terus mengambil tempat duduk dihadapanku.

“Laaaa.. Dah tu, abang breakfast seoranglah ni?”

“Mana pula breakfast seorang. Sara dengan Ayien, kan ada ni teman abang.” Qaisara tersengih bila aku mencebik bibir. Qaisara menuangkan air ke dalam cawanku. Sopan saja tingkahnya. Sama macam arwah ibu. Memang menurun sungguh sikap arwah kepada Qaisara.

“Sara ingatkan, kalau Ayien dah besar sikit, Sara nak kerja dengan abanglah.”
Aku yang sedang menghirup kopi, membeliakkan biji mata. Cepat-cepat cawan aku letakkan pada piringnya. Muka Qaisara aku pandang, mencari kepastian.

“Serius ke Sara? Saiful dah tahu ke?”

Qaisara dengan sopan menyapu jem pada kepingan roti. Air mukanya nampak keruh sedikit.

“Dah tanya, tapi Saiful tak bagi. Dia nak Sara besarkan Ayien. Dia takut kalau Sara hantar Ayien ke nursery.”

“Haa.. betullah tu. Kalau abang pun akan cakap macam tu juga. Tugas seorang ibu tu, kan mendidik anak-anak. Suami pula keluar cari rezeki untuk isteri dan anak-anak.” Sokongku pada pendapat Saiful, suami kepada Qaisara.

Qaisara tarik muka lagi.

“Memanglah, itu Sara tahu. Tapi Sara rasa nak pegang duit sendirilah, bang. Tak sedaplah mengharap duit dari suami. Setidak-tidaknya, Sara tak membebankan Saiful.”

Aku capai donat gula didalam piring. Ngap..! Memang sedap air tangan adik aku sorang ni. Tapi ada satu lauk yang dia buat tak kena dengan tekak aku. Kerabu mangga. Rasa akulah, berpuluh kali juga dia try. Tapi rasanya tetap tak sama macam ‘orang sebelah’ buat. Pernah sekali dia buat kerabu mangga letak tauhu telur. Uhh..! Memang taklah aku nak telan. Tauhu telur atau tauhu jepun tu aje buat aku geli-geleman. Lembik semacam.

“Tak cukup ke nafkah yang Saiful bagi kat Sara tiap bulan?”
Qaisara melepaskan keluhan. Sedih pulak aku tengok muka dia ni.

“Cukup.” Jawab Qaisara antara dengar tak dengar.

“Dah kalau cukup, buat apa nak kerja lagi. Duduk aje rumah, jaga Ayien, temankan ayah. At least, bila Sara ada kat rumah, ayah ada juga teman. Taklah ayah tu terasa sangat arwah ibu tak ada.”
Aku cuit pipi Ayien. Dia terkekek ketawa.

“Kan Ayien, kan? Kesian Ayien kalau ibu kerja, kan? Nanti Ayien kurang kasih sayang. Atuk pula sunyi bila Ayien tak ada kat rumah. Kan, Ayien kan?” Soalku pada Ayien. Dia yang tak tahu apa-apa, terus ketawa dan ketawa.

“Peliklah, Ayien ni asyik ketawa aje. Menangis pun serangkap dua, lepas tu sengih memanjang. Masa Sara mengandungkan dia dulu, Sara selalu tengok Maharaja Lawak Mega ke?” Sumpah, aku memang curious gila. Susah benar nak dengar budak kecil ni menangis. Asyiklah senyum, sengih dan ketawa.
Qaisara tergelak mengekek.

“Bukan sebab Sara tengok MLM la, bang. Tu sebab ikut baka. Tengoklah ibunya, ceria selalu. Tu yang Ayien pun ceria orangnya.”

Ahh, dia dah mula dah nak masuk lif tekan butang sendiri. Malas pula aku nak dengar. Perasan sungguh. Agak dia lupa masa dia mengandung dulu macam mana sebeknya muka dia tu hari-hari? Asyik nak nangis aje tiap kali teringat arwah ibu. Ceria konon.

“Lagi satu, baguslah Ayien ni tak kuat meragam. Taklah susah kalau Sara tinggalkan dia kalau Sara kerja nanti.” Tambah Qaisara lagi.

Aku dah mula tak sedap hati. Kopi aku hirup perlahan. Wajah penuh mengharap Qaisara aku pandang dengan rasa serba tak kena. Kenapa ya, Sara beria nak kerja? Sedangkan kerja Saiful dah cukup untuk menjamin kehidupan mereka anak-beranak. Tinggal pun di rumah ayah, bukan perlukan apa-apa pembiayaan pun. Something fishy here. Ke aku yang terlebih fikir?

Bukan aku nak bolot semua aset ayah kat syarikat tu, tapi aku kenal Qaisara. Dia persis seperti arwah ibu. Sentiasa mendahulukan keluarga. Sebagaimana arwah ibu sanggup menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menjaga kami semua, begitulah Qaisara.

Aku tersentak bila tangan Ayien menghentak meja kecilnya. Aku lihat Qaisara sedang leka mengagah Ayien. Jam di dinding aku perhati. Okay, let’s go to work.

Aku hirup kopi hingga habis sebelum briefcase aku bimbit. Dahi Ayien aku cium sekilas. Aku tersenyum bila dia tergelak.

“Pak long pergi kerja dulu, ya.” Aku usap kepalanya sebelum melangkah dari ruang dapur.

“Tengahari balik makan tak, bang?” soal Qaisara sedikit berteriak dari tempatnya memandangkan aku sudah menghampiri pintu rumah.

“Balik, itupun kalau Sara tak masak tauhu jepun lagilah.” Teriakku pula. Sayup-sayup aku terdengar Qaisara tertawa.

Sambil menyarung stokin, aku tersenyum kecil. Sara.. Sara.. Sejak dia tahu tauhu jepun juga dikenali dengan nama tauhu telur tu mampu mencantikkan kulit, hari-hari dia masak lauk tu. Yang peliknya, pandai pula dia variasikan menunya. Tajuk utama haruslah tauhu jepun. Cara masakan? Kejap tauhu jepun masak kicap, tak pun tauhu jepun masak taucu, paling malas pun Qaisara akan masak tauhu jepun masak sup. Aduhaiii.. Kembang tekak. Dahlah lembik. Nak pegang pun aku geli.

Padahal, bukan Qaisara tak tahu resepi membuat tauhu jepun tu berasaskan air kacang soya dan telur saja. Kalau setakat nak cantikkan kulit, boleh aje dia minum air soya tu 3 tangki sehari, aku boleh taja. Tapi entah apa yang Qaisara tu dengki sangat agaknya, sampai satu rumah kena makan tauhu lembik tu.

Tatkala kaki melangkah mendapatkan Hyundai Santa FE Special Edition putih hitamku, aku terpaku seketika melihat pemandangan di rumah sebelah.

Luka yang tak pernah sembuh, terus mengalirkan darahnya. Ya Tuhan, sakitnya melihat kebahagian mereka. Aku tahu niat mereka bukan untuk menunjuk, dah memang hakikatnya mereka bahagia. Cuma aku saja yang masih tak mampu menerima semua ini. Betul, aku bahagia melihat Delisha bahagia, tapi disatu sudut kecil hati ni, terbit jua rasa iri.

Setiap kali melihat dia mengucup tangan suaminya, hati aku menangis. Setiap kali melihat sang suami mengucup dahi isterinya, hati aku tercalar. Setiap kali melihat sang suami mengucup pipi puteri kesayangan mereka, hati aku terluka. Dan setiap kali mereka tertawa ceria, hati aku berkecai.. lagi.

Bahagiamu, deritaku…

Aku berpaling untuk masuk ke dalam kereta, namun pergerakanku terhenti bila namaku diseru. Kembali aku menoleh ke rumah sebelah.

Aku lihat Delisha tersenyum nipis bersama Izz Dania Delaila di dalam dukungannya. Anak kecil yang hampir seusia dengan Ayien.

“Qai, I’m off to Bandung for a few days. Really need your favour. Do you mind?” Bicara DR yang sangat jarang aku dengar lenggoknya. Sentiasa tegak, terserlah kredibilitinya sebagai ketua. Terus terang aku cakap, aku memang admire cara DR menguruskan empire dan pekerjanya. Tegas dan nampak sempurna. Aku lihat dia melangkah ke rumahku, aku menanti dia di tempat aku berdiri.

“Tolong macam mana?” soalku saat kami sudah bersua muka. Tak mungkin dia nak suruh aku tolong tengokkan isteri dia. Tu namanya sengaja nak ‘mengakal’ aku. Macamlah dia tak tahu aku masih tak boleh lupakan isteri dia tu. Memanglah aku tak pernah cakap secara terangan, tapi ikut logiklah, kan. 

Bertahun kot kita orang berkawan, isteri dia tu cinta pertama aku tau. Takkanlah semudah tu aku nak lupakan dia. Kan? Kalau aku senang nak lupakan dia, tak adalah aku membujang sampai sekarang.
Sekali lagi aku tekankan, bukan aku tak reda dengan apa yang berlaku selama ni. Bukan juga aku tak ikhlas melepaskan Delisha pergi. Tapi bila bercakap tentang cinta, hati dan perasaan, semuanya jadi subjektif. Jatuh cinta bukan pilihan aku. Putus cinta juga bukan kehendak aku. Semuanya dah tertulis. Tapi untuk melupakan cinta yang dah pergi tu, biarlah masa yang menentukan.

“My lil’ brother on his way nak ke Malaysia. Should be land before lunch hour. Aku nak minta tolong kau ambilkan dia kat airport. Boleh ke? Nak ikutkan memang sempat kalau nak pick up dia, tapi pagi ni aku ada board meeting.”

Aku berkerut dahi. Mata aku larikan ke luar pagar. Tu.. kat seberang jalan tu bukan kereta pengawal peribadi dia ke? Apahal aku pula yang kena jadi driver adik dia? Der, aku banyak kerja kot. Tahulah empire kau lagi besar dari syarikat ayah aku, asset kau lagi banyak dari asset ayah aku, pengaruh kau lagi meluas dari pengaruh ayah aku, tapi takkan sampai nak meng‘kuli’kan aku sekali.
Sedar ke mana arah anak mataku, DR tersenyum nipis.

“Hans dengan Mok ada hal lain nak settle. Kau tak free ke?”

Aduhai.. Aku ni memang boleh ngam dengan DR, tapi disebabkan mood aku pagi ni tak sampai lagi, tambah pula pagi-pagi dah sakit hati tengok insan tersayang sedang berbahagia, memanglah aku malas nak bertanya itu ini dengan DR.

Sekilas, aku tertoleh ke rumah sebelah. Delisha masih disitu melihat gelagat kami. Dia senyum. Aku kenal senyum tu. Senyum serba salah.

Untuk kali keduanya DR perasan ke mana anak mataku pergi, dia menepuk bahuku perlahan. Membawa kembali aku kepadanya.

“She can’t drive at this moment, Qai. Aku tak benarkan.” Ujar DR.
Aku berkerut dahi sekali lagi.

“Apahal? Takkan dia race lagi kot.” Cuak, macam mana pun aku tetap prihatin terhadap Delisha. Diakan darling aku, dulu, kini dan selamanya.

DR tergelak kecil. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket. Dia berdiri santai.

“Laila nak dapat adik.”

Zappp..!!

Terhenti seketika degupan jantungku. Laila nak dapat adik. Laila nak dapat adik. Bila Laila nak dapat adik, maknanya mama Laila sekarang sedang mengandung. Delisha tengah mengandung. Anak kedua. Ya Allah.. Sekali lagi anak yang Delisha kandungkan bukan anakku.

Come on Qai, get up!! Dah tentu DR suami Delisha, siapa lagi yang patut jadi ayah kepada anak yang Delisha kandungkan tu? Face the fact lah, Qai!!

Aku hembus nafas dalam. Kenyataan itu memang sesuatu yang menyakitkan.
Aku kalih mata pada jam di tangan.

“I’m off. Just call me half an hour before your brother landed. I’ll pick him up. Aku gerak dulu.” Sebelum terkesan sebarang riak yang kurang menyenangkan diwajahku, baik aku mengundur diri dulu.

Sebelum aku masuk ke dalam kereta, sempat aku toleh ke rumah sebelah. Riak diwajah Delisha mula mendung.

Maaf Del, ada ketikanya kau takkan mampu faham apa itu derita cinta. Dan ada ketikanya kau takkan mampu menyelami isi hati aku. Kau tahu aku kuat, tapi kau tak pernah tahu dari mana datangnya kekuatan itu. Bila kau terus mengecap bahagia, sedikit demi sedikit kekuatan aku hilang. Kerana apa? Kerana kaulah kekuatan aku selama ni.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post