Tuesday, September 26, 2017

QAISER (Prolog)

Alhamdulillah. Lepas beberapa tahun dengan projek SEQUEL DIA PUNCHING BAGKU ni, akhirnya muncul juga QAISER versi cetak ni..


Disebabkan tamparan hebat yg diterima oleh Qaiser dari Dia Punching Bagku, lahirlah QAISER ni.. Jadi, pada yg nak tahu apa yg jd kat abang Qaiser kita ni, bolehlah dapatkan nover QAISER versi cetak dari saya sendiri. boleh direct PM sy di FB http://www.facebook.com/miss.amaryllis.1990

Untuk yang nak tahu bab-bab awal QAISER, boleh baca di blog ni ya..
Saya akan update hingga bab 10 :)




PROLOG




“IS, mintak tolong awak update kat saya pasal Del ya. Saya nak ke bilik mayat sekejap. Uruskan jenazah Zuria. Malam ni juga nak kena terbangkan ke Brunei. Boleh ke?” Aku diam mendengar bicara antara DR dan Is.

“Boleh. Apa-apa nanti saya bagitau, ya. Awak uruskanlah apa yang perlu. Lagipun ramai kat sini yang boleh tunggu Del.”

Ya, memang ramai. Ternyata, insan yang berada di dalam dewan bedah tatkala ini sangat disayangi oleh ramai orang. Keluarganya, suaminya juga teman-teman baiknya. Dari petang tadi sejak Delisha dikejarkan ke wad kecemasan sampai hari dah pun menjelang subuh, kami masih lagi di sini menunggu tanpa lelah.

“Kalau macam tu, saya gerak dulu.”

“Qai..” Panggil DR. Aku menoleh perlahan. Dia menepuk lembut bahuku.

“Kita doakan yang terbaik untuk Del, ya? Aku tahu kau kuat. Jangan down macam ni.” Pesan DR. Aku diam saja. Kenapa? Sebab DR tak tahu perasaan aku berkecamuk tika ini. Bila aku tetap membatukan diri, DR terus mengatur langkah berlalu.

“Stay strong, Qai.” Pujuk Ken bila aku terus-terusan menyepi.

“Aku takut Del pergi jauh..” Apa khabar Delisha di dalam bilik pembedahan tu? Semoga kau kuat, Del. Maafkan aku sebab tak sempat nak lindungi kau dari Hunter tu. Maafkan aku..

“InsyaAllah, Del okey. Kau jangan macam ni. Risau kita orang tengok.” tambah Dura dengan sendu yang cuba dikawal.

“Kau dari petang semalam tunggu Del, Qai. Jangan kata makan, minum pun kau tak nak. Kau tak lapar ke?” soal Aniq mencelah. Aku diam. Lapar? Aku langsung tak terfikir nak makan. Sikit pun aku tak rasa lapar. Aku terus menyandar lesu di kerusi yang sama sejak petang semalam. Aku risau bila dia masih belum melepasi tahap kritikal lagi.

“Qai..” panggil Is. Aku mengalihkan mata pada huluran tangannya. Ada sepucuk surat bersampul kemas. Teragak-agak aku mencapai surat tersebut. Teman-teman yang berada di sisiku, mula merapat.

“Aku jumpa kat dalam beg Del tadi. Kat sampul tu ada nama kau. Aku rasa kau patut baca. Mungkin ada benda dia nak sampaikan.”

Dengan lafaz Bismillah, aku keluarkan sepucuk surat dari sampulnya.


Buat insan bernama Qaiser,

Utk pertama dan terakhirnya, aku hanya nak ucapkan TERIMA KASIH. Terima kasih atas segala-galanya yang pernah kita lalui bersama. Rasanya tak mampu utk aku kira satu-persatu tetapi yang masih segar dalam ingatan aku adalah:



Saat aku malas nak belajar padahal esok aku tahu ada exam. Sebab dalam kepala aku, kau mesti boleh jawab, jd kau kena bagi jawapan kat aku. Dan ya, kau takkan pernah biarkan kertas soalan aku kosong tanpa jawapan sampaikan kadang2 kau boleh ambil kertas soalan aku dan kau yang jawab kan utk aku sebab kau cakap aku salin jawapan lambat macam kura-kura. Terima kasih Qai, kalau tak mesti result percubaan PMR aku drop.

Dan saat aku kena marah dengan Damy sebab aku suka melawan cakap abah dan mama. Kenapa aku terima kasih kat kau? Sebab kau yang ketuk kepala aku masa tu sebab masa tu aku terfikir nak terjun kat tasik, konon nak bunuh diri. Tapi percaya atau tak, itu adalah saat paling aku tak boleh lupakan. Muka kau marah buat aku nak nangis dalam masa yang sama aku rasa terharu sebab aku tahu kau marah aku sebab kau sayang aku. Terima kasih sebab sedarkan aku yang bunuh diri tu haram dalam Islam, kalau tak entah-entah aku dah tak ada sekarang ni.

Dan lagi, saat aku kena kejar dengan Ejoi. Budak nerd yang kononnya nerd padahal gila seks. Aku ingat lagi, aku tampar muka dia sebab dia pegang pinggang aku. Bila cikgu marah aku, kau aje yang percaya apa yang aku cakap padahal orang lain tuduh aku nak cari publisiti. Dan aku ucapkan terima kasih sebab kau sudi follow aku dari jauh lepas kita balik dari tuisyen SPM, kalau tak aku pun tak tahu sama ada aku kena rogol dengan Ejoi atau Ejoi mati kena Tae Kwan Do dengan aku.

Sebenarnya, terlalu banyak terima kasih yang perlu aku ucapkan tetapi biarlah aku ringkaskan sepadat yang mampu. Qai, terima kaish kerana sentiasa memahami keadaan aku. Memahami aku dari sekecil-kecil perkara hingga yang besar-besar belaka. Terima kasih untuk semua pengorbanan kau pada aku. pengorbanan yang pada mulanya aku anggap sesuatu yang bodoh hinggalah pemergian arwah ibu, baru aku tahu betapa besarnya pengorbanan kau itu.


Terima kasih kerana sentiasa ada bersama aku, tak kira apa waktu pun. Kau tak pernah miss setiap kali aku perlukan kau. Qai, aku tak pernah mengharapkan kita terpisah begini kerana apa yang aku bayangkan, kita akan mengharungi semua dugaan dan cabaran ini hingga ke akhir usia tetapi siapa sangka percaturan dan perancangan Allah yang mengambil alih setiap rancangan kita? Aku tahu kau juga sakit, kau juga jatuh, tetapi aku juga tahu kau kuat. Dan aku akan terus berdoa supaya Allah akan terus bekalkan kekuatan padakau.

Qai, sampai ke hari ni, aku tetap takkan lupa apa yang kau pernah buat untuk aku. Terlalu banyak. YA Tuhan, andai aku mampu luahkan semuanya. Aku rindu saat kita berbuaian bersama, saat kita bermandi hujan hingga lupa dunia, saat kita bergelak ketawa hingga lupa semua masalah yang melanda, dan saat kita berduka hingga mengalirkan airmata. Banyak, terlalu banyak.

Qai, saat coretan ini dicoret, ketahuilah bahawa aku akan melepaskan semua perasaan kasih aku pada kau sebagai seorang kekasih juga sebagai bekas tunanganku. Bukan kerana aku tak menghargai perasaan ini tetapi aku tahu DR lebih berhak memilikinya dan aku rasa cukuplah aku mencurangi DR dengan mengingati setiap memori saat kita berkasih.

Apa yang aku harapkan agar persahabatan kita takkan berakhir sampai disini. Kita tak pernah mencipta pertalian persahabatan kerana ianya datang tanpa disedari. Biarpun kita bergaduh, kita bertekak kita bertumbuk, tapi sudah suratan kita menjadi sahabat. Begitu juga dengan ikatan kasih sayang, tak pernah kita sengaja mencipta tetapi mungkin kerana usia yang semakin meningkat membuatkan kita sedar tiada persahabatan yang suci antara lelaki dan perempuan. Tentu akan dicemari dengan perasaan cinta. Itulah kita.



Qai, ketahuilah bahwa aku tak pernah menyesal kerana pernah menyayangi kau kerana menyintai kau adalah sesuatu yang indah dan itulah yang akan bakal bidadari kau rasa suatu hari nanti. Buat Qaiser Khaizuran, mulai hari ini, aku lepaskan kau pergi dari hati aku. Andai cinta kita suci, aku akan terus berdoa supaya kita dipertemukan di Syurga Allah kelak.

Salam kasih, Nurul Delisha Armani Darsuki.


Aku genggam erat warkah dari insan yang aku terlalu kasihi. Tubir mata yang memberat membuatkan aku sedar betapa sakitnya pengorbanan yang aku sedang lalui. Del..

“Arghhh..!!” Aku menjerit, tak hiraukan jururawat dan kakitangan hospital yang lalu-lalang. Sakitnya, Ya Allah. Kenapa duga aku macam ni? Kenapa aku? Kenapa?

“Qai.. Astaghfirullahalazim.. Istighfar Qai. Bawa mengucap.” Nyata Is dan teman-temanku terkejut dengan tingkahku yang tiba-tiba itu.

Memang aku yang sanggup buat pengorbanan ni semua, tapi kenapa bila surat ni sampai pada aku, aku jadi menyesal? Memang aku nak beri yang terbaik pada Delisha, tapi kenapa sekarang aku tak redha? Kenapa aku tukar tempat aku dengan DR? Ya Allah, ikhlaskanlah hati ini.

“Kenapa aku? Kenapa Allah uji aku macam ni? Aku dah hilang ibu aku, sekarang Del pula. Aku tak kuat, Is. Aku nak Del.” Dan di situ, buat pertama kalinya aku meraung di hadapan teman-temanku. Kutuklah aku lelaki lemah, katalah aku bacul sekalipun, aku tak peduli. Hakikatnya, tak siapa mampu mengerti apa yang aku alami ini.

Sepi. Sepi buat seketika hinggalah aku terdengar Dura mula mengongoi kuat. Ken pula mengeluh kesal. Aniq menahan tangis.


“Qai..” Dura terus mendapatkan aku bersama tangisannya. Kepalanya dijatuhkan pada bahuku. Tersedu di situ.

“Apa kita dah buat pada Del, Qai? Aku takut Del pergi..” Dura mengongoi sayu. Bicaranya menambahkan kesal dihatiku. Ya Allah..

Aniq yang menyandar di dinding sejak tadi, terus melorotkan badannya hingga terduduk lemah di situ. Dia meraup kasar rambutnya.

“Kita yang salah. Kita tak patut biarkan Del hadap benda ni sendiri. Ya Allah, kenapa kita kejam sangat pada Del?”

“Jangan macam ni, guys. Jangan jadi lemah macam ni. Del perlukan sokongan kita. Berhenti salahkan diri kau orang sendiri. Ujian. Semua ni ujian. Allah tengah uji kita semua. Sabarlah.”

Is yang masih positif terus memberikan kata-kata semangatnya. Kau takkan faham perasaan aku, Is. Malah takkan ada yang faham perasaan aku sekarang ni. Rasa kecewa, sedih, sebak dan menyesal bila baca surat dari Delisha tu. Dan aku rasa bersalah sebab aku tak mampu nak selamatkan Delisha macam selalu. Sebunya hati aku. Senaknya perasaan aku. 

Aku menggeleng lemah.
“Aku ingatkan aku dah ikhlas, dah reda dengan semua yang berlaku ni. Rupanya tak. Bila baca surat ni, buat aku rasa akulah lelaki paling bodoh yang sanggup serahkan tunang sendiri pada orang lain. Lelaki jenis apa aku ni?” Aku raup wajah. Sekilas, aku terbayang wajah Delisha sedang tersenyum. Allah, aku rindukan dia.

“Qai.. Sabarlah.” Is menambah lagi.

“Aku tak nak kehilangan dia, Is. Aku takut. Ya Allah.. Aku tak cukup kuat nak hadapi satu lagi kehilangan. Del..” Aku tersandar lemah.

Ya Allah, berikanlah Delisha kekuatan melawan kesakitannya Ya Allah. Kau selamatkan dia YA Allah. Aku tak sanggup kehilangan dia buat selamanya Ya Allah. Cukuplah aku kehilangan dia sebagai permaisuri hidupku, jangan Kau ambil dia dari kami semua Ya Allah. Sesungguhnya, aku sayangkan dia Ya Allah.

Aku sayangkan kau, Del. Biarlah aku sakit melihat kau bahagia bersama DR, aku terima. Asal saja kau terus ada di antara kami semua. Asal saja kau terus tersenyum bersama kami. Kuatlah untuk kami, Del. Untuk kami semua.

Ya Allah, ikhlaskan hati aku Ya Allah. Jadikan aku insan yang reda dengan ketentuanMu Ya Allah. Jangan biarkan aku alpa dengan dugaan yang Kau berikan ini Ya Allah. Andai aku tak mampu ikhlaskan hati ni, Kau berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini.

Kami semua tersentak tatkala pintu dewan bedah dibuka dari dalam. Sepantas kilat kami menyerbu ke arah doktor tersebut. Kebetulan mama dan abah pun tiba setelah kembali dari kafe.

“Macam mana dengan anak kami, doktor?” soal abah.

“Alhamdulillah, pendarahan di kepala pesakit dah berhenti. Pesakit kehilangan banyak darah tapi syukur Allah permudahkan, abang kepada pesakit rela hati dermakan darah untuk pesakit. Mujur juga doktor Danish ada tadi. Cumanya, lepas pembedahan ni pesakit mungkin akan sedar selepas 48 jam paling lambat. Tapi ikut semangat pesakit juga, insyaAllah kalau kita kat sekeliling pesakit tak berhenti bagi semangat, cepatlah pesakit sedar.”

“Macam mana dengan luka yang lain, doktor? Dan anak-anak kami yang derma darah tu tak ada apa-apa, kan?” soal mama pula. Doktor bertudung itu manis melemparkan senyuman.

“Luka-luka yang lain tu tak ada yang teruk. InsyaAllah, a few days ni eloklah luka dan lebam tu. Nasib baik juga tak ada anggota yang patah. Macam mana pun, kita tunggu perkembangan pesakit dalam masa 48 jam ni. Kejap lagi kami akan hantar pesakit di wad ICU untuk pemantauan hingga pesakit sedar, ya. Oh ya, anak-anak puan yang lain semua okey. Dia orang tengah rehat sebab agak banyak juga darah yang kami ambil. Mujur juga darah abang-abang pesakit sesuai. ”

Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih kerana mendengar dan memakbulkan permintaan hamba-hambaMu ini.


BUAT kesekian kalinya, wajah lesu itu aku tatap lagi tanpa jemu. Setiap hari, tak pernah sekali pun aku terlupa untuk melawat insan yang aku sayangi ini. Meski dia tak mampu membalas senyumanku, tak mengapa. Asal saja aku tahu dia masih mampu mendengar bisikanku. Dan asal saja dia masih mahu bertarung untuk meneruskan hidupnya.

Hari ini, masuk sudah minggu kedua Delisha koma. Ya, dia koma selepas 48 jam masih tidak sedarkan diri. Menurut kata doktor, pesakit sepatutnya sudah sedar memandangkan degupan jantungnya normal dan pendarahan di kepalanya sudah semakin pulih. Tapi hingga kini Delisha masih tak mahu membuka matanya.

Tambah doktor lagi, Delisha masih belum kuat untuk sedar mungkin akibat trauma atas apa yang berlaku sebelum dia kemalangan. Kami dinasihatkan untuk terus membisikkan kata-kata semangat kepadanya. Dan itulah yang aku lakukan setiap hari.

Sementelah, DR sendiri mengizinkan aku untuk melawat Delisha kerana menurut DR, aku adalah pemangkin semangat buat Delisha dari zaman kanak-kanak hinggalah sekarang. Alhamdulillah, mujur juga DR tak halang aku untuk bertemu dengan Delisha.

Entah kenapa, sejak beberapa hari ni, semangat aku kian merundum. Setiap kali aku menatap Delisha, tubir mata aku mula memberat. Tatkala air mata ingin mengalir, pantas saja aku membawa langkah kaki keluar dari wad. Aku tak mahu menangis di hadapan Delisha. Aku mahu terus kuat untuk Delisha dan untuk mereka di sekelilingku.

“Qai..” Tepukan di bahu kiriku membawa aku kembali ke alam realiti. DR di sisi aku toleh. Dia tersenyum nipis. Nampak sayu.

“Tak salah kalau kau tunjukkan airmata kau tu. Bukan sebab kau kalah,tapi sebab kau luahkan apa yang ada dalam hati kau.” Pujuk DR.

Aku tarik nafas dalam. Aku akan menangis, tapi mungkin bukan hari ni.


LANGKAH aku lajukan bila aku yang baru tiba di lobi hospital ternampak mama dan abah berjalan cemas menuju ke wad Delisha. Kenapa? Apa dah jadi pada Delisha? Delisha okey, kan? Dia tak apa-apa, kan? Laju langkahku, laju lagi degupan jantungku. Hati tak berhenti berdoa, mengharapkan Delisha baik-baik saja walaupun terdetik ada perkara buruk telah berlaku.

“Qai..!!” Teriak Danish dari arah lain. Dia berlari mendapatkan aku yang sudah berdiri di hadapan pintu wad.

“Apa dah jadi? Kenapa mama dengan abah kelam-kabut? Del okey, kan? Cakaplah Dany, apa dah jadi dengan Del?” Tolonglah.. Tolonglah.. Aku tak nak dengar yang Delisha dah tiada. Aku tak nak dengar yang dia dah meninggal. Aku tak nak kehilangan dia. Tolonglah..

“Del dah sedar.”

Aku terkaku seketika sebelum aku terduduk di atas lantai bersama tangisan kegembiraan yang terhambur.

“Ya Allah.. Ya Allah.. Syukur Ya Allah. Terima kasih Ya Allah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..” Tanpa aku sedar, air mata yang aku simpan selama ni adalah untuk aku luahkan di saat aku mendapat berita gembira. Tanpa segan-silu, aku menangis di hadapan Danish dan DR yang baru juga tiba. Kegembiraan yang tak mampu aku luahkan dengan kata-kata.

Sempat aku melakukan sujud syukur sebelum aku melawat Delisha. Tatkala aku bertatapan mata dengan Delisha, tertumpah jua air mata kami. Banyak yang ingin kami luahkan tapi hanya renungan mata saja yang mampu berbicara.

Terima kasih YA Allah kerana Kau kembalikan cahaya kegembiraan buat kami. Aku sayang kau Del, sampai bila-bila. Kau tetap Del Darling aku selamanya walaupun kau bukan milik aku.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post