Sunday, April 8, 2018

Lili (Bab 3)




Bab 3

"JUMPA lagi.." Ajuk Noah entah untuk kali ke berapa. Sejak turun dari TV Tower sampai dah jejak rumah pun, dia masih dengan modal yang sama. Mengajuk, tapi muka beku. Itu yang buat aku tambah panas hati.
            Di tengah-tengah laman utama, aku menghentikan langkah. Berdiri di hadapan Noah dengan muka garang. Noah memakukan langkah. Membalas renunganku tanpa sedikit pun gentar. Susah aku nak baca perasaan dia sebab dia bijak meletakkan perisai supaya tak siapa dapat menyelam hingga ke dasar hatinya. Dan ini ke lelaki yang Casandra cakap hot tu?
            "Awak ajuk Dyra, kan?" Aku menyoal tajam. Membara hati aku bila Noah sekadar jungkit keningnya sebelah. Itu saja?
            “Kenapa? Terasa?” Dia seluk kedua tangan ke dalam poket winter coatnya.
            Aku berdecit, meluat sangat tengok gaya dia yang ‘beku’ tapi sebenarnya nampak hot tu. Dia ni bukan manusia ke? Kenapa dia ‘sebeku’ ni? Sebab musim? Tolong jangan salahkan musim ya. Sebab dia ni, musim bunga pun dia ‘dingin’.
            “Dari TV Tower sampai ke rumah ni awak asyik sebut benda yang sama, siapa yang tak terasa? Rasanya, orang beku macam awak aje yang tak terasa kot.” Nah, ambil. Nampak tak ayat aku tu macam ada bebola api? Tapi Noah? Macam tu juga. Elak pun tidak.
            “Salah ke aku cakap macam tu pada driver taxi tadi?”
            Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum aku hambur keluar dengan kasar. Spontan, aku merapatkan jarak dengan Noah. Noah tak berganjak. Malah, matanya pun tak lari dari memandangku. Aku tayang senyum, nampak keji. Noah jungkit kening sebelah. Tanpa amaran, aku angkat kaki kananku dan aku hentak di atas kaki kirinya. Kuat. Padu.
            “Dyra!!” Jerit Noah sambil mengaduh. Terlompat-lompat jugalah dia seketika.
            “Padan muka. Nak bodohkan orang konon. Awak ingat driver taxi tadi faham ke bahasa melayu?” Marahku. Noah yang dah kembali berdiri tegak di hadapanku, tertawa dua harakat. Ketawa mengejek. Ingat aku tak tahu?
            “Awak dengar ni. Lain kali, kalau ditakdirkan Dyra terjumpa Za'id dan masa tu awak ada dengan saya, tolong jaga perangai awak.”
            “Perangai apa?” soalnya bersama pakej double-jerk. Boleh dia tayang muka tak bersalah?
“Perangai apa? Awak tanya Dyra pula? Kalau awak tak buat perangai tak sopan awak tadi tu, mesti malam ni saya end up dating dengan dia. Tahu tak?" Aku tunjal-tunjal dada bidang dia.
            Tak faham betul aku, kenapa Noah buat perangai macam tu tadi. Dia tak tahu ke betapa susahnya aku nak cari teman lelaki? Tadi peluang dah terbuka lusa tau, Za'id pun nampak minat padaaku, si gay ni pula buat perangai gila dia. Main tarik-tarik macam tu aje. Bencinya..!!
            Noah pantas menangkap jemariku yang tak henti-henti menunjal dadanya sejak tadi. Dia tarik tanganku hingga kedudukan kami agak rapat. Matanya menatap dalam anak mataku. Err.. Kenapa mata ‘ais’ tu macam ‘hangat’? Dia marah?
            “Satu, jangan harap akan ada ‘lain kali’ antara kau dengan lelaki tadi.” Dia beri peringatan tapi kedengaran agak berbisik dan tajam. Aku buka mulut, cuba memprotes. Tapi jari telunjuk Noah dah melintang di bibirku. Aku terdiam.
“Dua, siapa yang buat perangai sebenarnya? Aku atau kau? Aku tahu kau memang nak sangat ada boyfriends, tapi jangan bagi aku nampak perangai gedik kau tu depan aku. Aku alergik.”
Aku membeliakkan biji mata. Aku? Gedik? Aku genggam erat jemariku. Salah tak kalau aku bagi penumbuk kat muka kacak dia ni?
“Tiga, aku tak faham macam mana kau boleh tergedik macam tu sedangkan kau baru lepas kena serang dengan tiga lelaki dan dua darinya bersenjatakan pedang. Kau hilang ingatan ke?” Sempat dia ketuk dahiku dengan ruas jarinya yang dibengkokkan
Aku tolak dada Noah, menjauh sedikit. Matanya aku renung, garang. Tapi Noah sekadar beri kerlingan bersahaja dan terus melangkah. Tatkala melepasiku, sempat dia melanggar bahuku dengan sengaja.
“Eeeiii.. Dasar gay!! Heartless! Cold-blooded! Muka beku! Hati dingin! Annoying! Menyakitkan hati!! Noah! Daikirai..!!I hate you..!! Jeritku sehabis kuat. Haa, kan. Bergegar tiang rumah Eidlan yang antik ni. Nasib baik tak rebah menyambah bumi.
Noah pakukan langkah. Perlahan, dia menoleh. Bila kami berpandangan, dia ukir senyuman. Dan senyumannya tu buat aku rasa nak terkam dia dan cakar-cakar muka dia tu!
“Jumpa lagi..” Tanpa rasa bersalah, dia ulang lagi ayat tu dan kali ni saip meniru sekali antonasiku waktu bersama Za'id tadi.
“Eeeii..!” Aku berlari, kali ni betul-betul aku akan terkam dia. Aku tak pedulilah nak jadi apa pun. Kalau malam ni berakhir dengan kematian Noah di tanganku pun, tak mengapa. Asal aku puas sebab berjaya buat lelaki gay ni lenyap dari bumi.
“Dyra..!!” Belum sempat aku nak buat aksi stunt, melompat dan terkam si Noah tu, tiba-tiba namaku dipanggil. Larian yang tadinya bersemangat, terus terhenti. Aku kalih pandangan ke arah engawa yang menempatkan bahagia utama rumah. Terlihat Eidlan yang sedang berlari mendapatkanku. Jelas wajahnya nampak cemas dan risau.
“Dyra.. Are you okay? Dyra pergi mana? Macam mana boleh terpisah dengan Uya, dengan Sandra?” Dia periksa tubuhku. Atas bawah dia perhatikan. Wajahku pula dibelek.
“Usu.. Dyra okey.” Beritahuku pada Eidlan.
“Betul ni okey?” soal Eidlan minta kepastian. Dia pandang dalam-dalam anak mataku. Aku angguk. Betul, Dyra okey. Yang buat Dyra tak okey, tuuu haaa.. Si gay muka beku tu. Sempat aku mencebik pada Noah yang sudah berlalu, masuk ke dalam rumah. Yakin dengan jawapanku, Eidlan terus tarik aku dalam pelukkannya.
“Tolonglah. Lain kali jangan buat usu risau. Usu takut jadi apa-apa pada Dyra.” Aku diam, menahan sebak.
 “Usu tahu ke apa yang jadi pada Dyra?”
Eidlan renggangkan pelukan.
“Tadi masa usu dengan Rei pergi selamatkan Uya dan Sandra, Dyra tak ada. Usu risau sangat. Macam-macam usu bayangkan. Tak lama lepas tu, Noah ada call usu. Dia cakap, Dyra ada dengan dia. Dia nak tunggu keadaan okey sikit, baru dia bawa Dyra balik.”
“Uya dengan Sandra pun kena?” Soalku, tak percaya. Eidlan angguk.
“Habis, mana dia orang?”
“Kat dalam. Tengah tunggu Dyra.” Tak sempat pun Eidlsn nak habiskan ayat, aku dah mengatur langkah laju. Terus aku naik di atas engawa, tapi belum sempat dua-dua kaki jejak atas engawa, aku terkaku. Terkedu. Situasi apakah ini? Dengan shoji yang tak dirapatkan, aku nampak Rei kena piat telinga. Dengan Tetsuya?
“Nasib baik tau.. Nasib baik Dyra tak apa-apa. Kalau jadi apa-apa tadi kat Dyra, malulah Uya nak mengaku Rei ni pewaris Yamaguchi. Orang bawahan bukan main ramai lagi tapi seorang pun tak dapat jaga Dyra.” Bebel Tetsuya berubi-tubi tanpa menghiraukan Rei yang sudah ternganga menahan sakit kena piat telinga. Tiba-tiba aku terasa nak tergelak. Rei, seorang yakuza yang sangat digeruni dan bengis, kena piat telingan dengan adik?
“Betul tu. Nasib baik ada my Noah yang hot tu tau.” Sampuk Casandra yang duduk di hujung sudut, hampir dengan Noah yang berdiri saja. Bersandar tenang.
Tetsuya terus kalih pada Casandra yang tersengih-sengih pada Noah. Padahal Noah tak pandang dia sedikit pun. Leka bermain dengan telefon bimbitnya.
“Ni satu lagi. Boleh tak behave sikit? Piat telinga, nak?” Tetsuya alih amarahnya pada kakak kembarnya pula. Casandra jelir lidah pada Tetsuya. Telinga Rei dilepaskan dan cuba mendapatkan Casandra. Casandra terus bangun, cuba nak selamatkan diri bersama tawanya. Sajalah tu nak menyakat Tetsuya yang terang-terang tengah mood 'berangin'. Aku tersenyum, lucu.
            Ketika sedang berlari, Casandra terpandangkan aku yang tercegat di luar. Casandra tersenyum, bertambah lebar.
            "Dyra..!!" Panggil Casandra. Sedikit berteriak. Serentak, Rei dan Tetsuya memandang ke luar. Aku terus naik ke atas engawa dan mengatur langkah ke ruang tamu. Casandra terus menarik tanganku, mengajakku duduk di sebelahnya. Sementara Tetsuya bersila di sebelah kiriku. Rei pula duduk di hadapanku.
            "Dyra, you okey?" soal Rei, gusar. Aku tayang sengih.
            "Mestilah okey. Ada tiga orang yang serang Dyra tadi tau. Dyra bagi penumbuk seorang sebiji kat dia orang. Terus dia orang pergi sambil menangis." Ceritaku dan terus disambut tawa lucu oleh mereka bertiga. Noah pula aku lihat sekadar melorek senyuman. Itupun seketika cuma.
            "Pandailah Dyra tu. Menangis konon." Sambut Eidlan yang baru tiba dan duduk di sudut ruang berdekatan dengan tempat Noah berdiri. Aku tersengih-sengih.
            "Dyra, tolonglah. Next time jangan leka. Macam mana boleh terpisah dengan Uya dan Sandra? Macam nak mati kita orang risaukan Dyra." Tekan Rei, serius. Aku mencebik.
            "Salah Reilah. Kalau ya pun Rei ada masalah dengan mafia kat luar sana, janganlah sampai dia orang serang kami." Balasku, sebal. Aku tetap tak puas hati sebab malam yang sepatutnya berakhir dengan sebuah kenangan yang indah, hilang begitu saja.
            Rei terpinga-pinga seketika. Dia tergaru kepala bila Tetsuya dah besarkan biji mata. Lagaknya seperti hendak membaham orang. Tetsuya bercekak pinggang.
            "Jadi, Reilah yang jadi punca?" soal Tetsuya tak mengharapkan jawapan. Tangannya dah dipanjangkan hendak dipiat sekali lagi telinga abangnya, Rei pantas menjauh. Bila Tetusya dah buka langkah nak mengajar, Rei terus berlari dan keluar dari ruang tamu. Sejenak, aku, Tetsuya dan Casandra melambakkan tawa. Lucu.

SHOJI bilikku, aku tarik perlahan. Sebelum melangkah keluar, aku sarungkan winter coat pada tubuh memandang suhu semakin menurun pada waktu malam. Sejuknya hingga ke tulang hitam. Tadi waktu mandi pun, menggigil satu badan. Walaupun mandi air suam, tetap terasa sejuknya. Malah heater di dalam bilik pun seakan tak terasa bahangnya.
            Aku melangkah perlahan menyelusuri engawa. Nampak semua bilik sudah gelap, hanya lampu dilaluan engawa saja yang masih terang dan juga lampu di laman tengah. Dari tempatku berdiri, aku ternampak kelibat Yuuri yang sedang melompat-lompat di dalam rumah kecilnya.
            Yuuri dah makan ke belum ya? Komori dah bagi dia makan belum sebelum pembantu itu pulang tadi? Di jam sebegini, kenapa Yuuri belum tidur lagi? Aku meloncat, turun dari engawa. Tanpa berkasut, aku terus pergi ke sangkar arnab berbulu putih itu. Yuuri terus saja merapati pagar sangkarnya, hidungnya mencari bau. Tentu Yuuri lapar.
            "Yuuri, kau nak makan ke? Kejap ya." Aku menhjengah bakul kecil yang selalu menempatkan carrot untuk Yuuri. Ada sebatang lagi. Aku capai dan sangkar aku buka. Yuuri terus saja berlari mendapatkanku. Sebaik aku hulur carrot pada mulutnya, Yuuri terus makan dengan lahap. Aku tersenyum.
            "Kesian kau Yuuri. Mesti kau pun sunyikan. Macam aku. Dahlah mak ayah tak ada, kawan pun tak ada, nak cari boyfriend pun susah. Hidup ni memang tak adil untuk kita, kan Yuuri?" Aku usap bulu di kepalanya. Lembut.
            "Tak apalah, Yuuri. Nanti aku carikan kau pasangan, ya. Walaupun aku selalu bersendiri, setidak-tidaknya aku ada pakcik aku, aku ada Rei, ada si gay yang annoying tu. kadang-kadang, Uya dan Sandra pun akan datang teman aku bila dia orang balik sini. Tapi kau? Macam forever alone je." Yuuri terus saja mengunyah. Tak rasa terharu pun dengan kata-kataku yang sangat prihatin tentang dirinya. Bertuah punya arnab.
            "Dahlah, aku masuk dulu. Kau makanlah kenyang-kenyang. Lepas tu terus tidur." Arahku seakan berpesan pada kanak-kanak. Aku masukkan kembali Yuuri ke dalam sangkar. Pintu sangkar aku kunci dan tatkala ingin berlalu, aku dikejutkan dengan suara herdikan seseorang.
            "Uzendayo..!!" Itu bukan suara Rei ke? Dia maki siapa? Aku menjengah disebalik rimbunan pohon rendang yang menjadi pagar yang memisahkan laman tengah dan lama utama. Aku tekap tangan pada dada. Rei mengamuk. Beberapa orang suruhannya sudah terbaring lemah akibat dipukul dengan teruk. Ada yang sudah penuh dengan darah di muka.
            Noah pula sekadar bersandar pada tiang buaian, lagaknya sangat santai dan tenang. Sikit pun tak rasa gerun atau cuak melihat amukkan Rei. Eidlan? Dia berdiri tidak jauh dari Rei. Wajahnya nampak tegang. Kenapa ni?
            Kazuya dan Kauto aku lihat sedang melakukan syazai di hadapan Rei, ia merupakan satu teknik untuk meminta maaf. Ianya kelihatan seperti bersujud tetapi kedua belah tangan dikembangkan sedikit dengan hujung kepala menyentuh lantai.
            "Tsukaene yatsu dana..!" Rei herdik lagi dengan mengatakan mereka semua tak berguna. Tiba-tiba menyepak tulang rusuk Kauto. Tak cukup dengan itu, dia sepak keras bahu Kazuya. Dari apa yang aku tahu, Kazuya merupakan abang kepada Kauto, mereka adalah orang kepercayaan Rei sejak bertahun yang lalu. Biasanya, setiap kali Rei ke mana-mana, dua beradik inilah yang akan mengawasi Rei. Tapi kenapa Rei pukul mereka? Apa yang buat Rei marah sangat?
            "Rei." Seru Eidlan. Mungkin cuba menghentikan tingkah Rei yang selalu mengikut barannya. Rei capai bir di atas meja batu, lalu diteguk rakus. Wajah Rei, tegang. Matanya tajam. Sut hitamnya dah hilang ke mana, malah kemeja putihnya juga sudah tak berbutang. Kelihatan jelas ukiran tatu yang menunjukkan simbol Yakuza Yamaguchi hampir di seluruh tubuhnya.
            "Doke." Berhambus! Arah Rei pada pengikutnya. Masing-masing nampak teragak-agak hendak pergi.
            "Doke, kisama..!!" Tengking Rei kuat, membuatkan semua pengikutnya terkocoh-kocoh bangun dan berlari pergi termasuk Kazuya dan Kauto. Kan dah kena maki.
            "Semua bodoh. Tak boleh harap." Herdik Rei sambil menyalakan putung rokoknya. Rokok disedut dalam-dalam dan dihambur bersama keluahan kasar.
            "Aku harap oji-san takkan tahu pasal ni." Ujar Eidlan.
            "Aku tak pasti pasal tu. Sebab Uya dan Sandra tentu akan cerita pada oji-san atau mungkin pada daddy. Arghh!! Tak guna betul."
            "Oji-san takkan lepaskan kau kalau tahu Dyra kena serang tadi." Tambah Eidlan lagi.
            Rei menghempas tubunya pada kerusi batu. Wajahnya mula kusut.
            "Bodoh! Kalau aku jumpa orang yang serang Dyra tadi, aku cincang dia..!"
            Okey, dari apa yang aku dengar, aku dapat tafsir sendiri apa yang berlaku sebenarnya. Aku dapat agak Rei mengamuk kerana orang-orang bawahannya terlepas dari menjaga keselamatanku hingga aku hampir dibawa lari. Mujur saja ada Noah, kalau tak? Aku pun tak tahu apa akan berlaku. Dan tentu saja kalau perkara ini sampai ke pengetahuan oji-san, Rei akan menerima hukuman yang berat kerana dia telah membahayakan nyawaku sedangkan yang menyerang aku tadi adalah musuh dunia mafianya.
            "Aku rasa dia bukan calang-calang orang." Tiba-tiba Noah mencelah. Namun, wajahnya terus tenang. Pelik dia ni, keadaan tengah gawat macam ni pun dia boleh tayang muka iceberg dia tu.
            "Maksud kau?" Soal Eidlan. Berkerut dahi.
            "Rei, apa beza pedang samurai dengan pedang yakuza?" Noah lempar soalan pada Rei pula tanpa menjawab soalan Eidlan.
            Rei pandang Noah. Sementara Noah dan Eidlan, pandang Rei. Menanti jawapan.
            "Pedang samurai lebih panjang dari pedang yakuza. Pedang samurai dinamakan Katana, pedang yakuza pula dinamakan Wakizashi. Kenapa?"
            "Wakizashi tu yang selalu kau bawa, kan?" soal Noah lagi. Rei angguk. Setahuku, wakizashi hanya akan dibawa oleh setiap yakuza yang berpangkat tinggi saja.
            "Orang tu upah samurai untuk bunuh sesiapa yang cuba halang dia." Ulas Noah, ringkas dan padat. Sejenak, Rei dan Eidlan terdiam.
            "Dia guna katana?" soal Eidlan, inginkan kepastian. Noah angguk. Rei terus mendengus.
            "Damn it..!" Rei menjerkah kuat. Tin birnya dilempar. Aku terus putarkan tubuh dan terus berlari dari situ. Tak sanggup nak tengok Rei mengamuk sekali lagi.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post