Friday, February 2, 2018

QAISER (Bab 7)



=

Bab 7




“BALIK tak tengahari ?” soal Qaisara tatkala aku sedang menyarung kasut dimuka pintu. Dia sedang membelek bunga kaktus bersama Ayien didalam dukungannya.

“Tak pasti. Rasa macam tak sebab nak pergi site. Ada menu istimewa ke?” Aku tersengih sendiri. Qaisara mencebik bibir tanpa memandangku.

“Eh, Sara. Sara betul ke nak kerja?” soalku bila teringat pasal bisnes dalam talian tu.

Laju saja Qaisara menoleh ke arahku. Muka bersinar mengharap.

“Ada kerja kosong ke?”
Aku bangkit, beg aku jinjit bersama. Alarm kereta aku tekan.

“Kat ofis tu tak adalah kerja kosong. Tapi kalau Sara minat, apa kata Sara buat bisnes online? Sambil jaga Ayien, boleh meniaga.” Muka dia kelam sekejap.

“Meniaga online? Nak jual apa?”

“Hmm..” aku tak tahu nak mula ayat dari mana sebab Qaisara punya alergik kat Delisha sampaikan dengar nama aje dia dah berasap telinga.

“Hmm apa? Abang ada idea ke nak suruh Sara jual apa? Ke baru nak brainstorm?” dia dah berdiri depan aku yang sedang bersandar dipintu kereta.

“Arrr..” entah macam mana, aku boleh terpandang rumah sebelah. Qaisara pun taklah lembam mana sampai tak boleh nak faham bahasa mata aku.

“Ada kaitan dengan Del?” tajam dia menyoalku. Aku tersengih sambil garu pelipis.

“No way!” belum cerita bisnes apa, terus pangkah.

“Tapi Sara..”

“No, abang! Just drop the subjects.” Putus Qaisara dan terus berlalu ke dalam rumah dengan air muka keruhnya.

Aku buka pintu kereta, masuk dan terus tersandar dikerusi. Mata terus ke pintu rumah. Maaf Sara, abang tahu banyak benda pahit yang Sara dah lalui kerana abang. Abang tahu sampai sekarang pun Sara masih juga sakit dengan apa yang kita lalui dulu. Tapi Sara, sakit Sara takkan sesakit abang. Abang harapkan Sara mampu lupakan semua tu dan kuat untuk masa depan, macam yang abang sedang lakukan. Tapi tak. Setiap kali Sara mengungkit, sakit abang lebih dalam dan semakin dalam.
Kenapa Sara tak pernah nak mengerti?


AKU baca mesej yang baru sampai dari Bawang. Nasib baik tak pergi bilik mesyuarat lagi. Sampai tadi aku tengok jam dah nak pukul 10. Aku tak terus ke dewan sebab nak ambil iPad kat bilik aku dulu.
Venue, Hall (Bilik meeting overloaded)

Bangunan dah jadi sepi sebab semua staf dah berkumpul kat dewan sekarang ni. Pintu lif terbuka, aku melangkah masuk. Butang 10 aku tekan. Sampai di tingkat 3, lif berhenti. Ada orang nak masuk. Aku anjak ke belakang sedikit. Staf mana yang nak naik ni? Bukan semua patut ada di dewan di tingkat 1 ke?

Ting!!

Bila pintu terbuka, aku dan dia terkaku. Aku pandang dia dan jambangan bunga di tangannya. Caught redhanded, Cik Yasmin.

“Nak masuk tak?” soalku. Aku dah lambat ni. Dia pula nampak teragak-agak.
Bila pintu lift nak tertutup, dia tahan dan terus melangkah masuk. Aku tengok dia nak tekan butang, tapi jarinya terketar-ketar. Dia tekan nombor 8. Aku sengih dalam hati. bukan awak nak ke tingkat 10 ke, Cik Yasmin? Cover, eh?

Dia berdiri tegak membelakangkanku. Sikit pun tak tegur mahupun senyum. Memang awkward sikit hubungan aku dengan staf seorang ni.

Aku perhati wajah Cik Yasmin yang terpantul di pintu lif. Manis orangnya. Sopan. Selalu aku tengok dia datang ofis pun pakai baju kurung. Cuma bila dia nak turun site aje dia pakai kemeja dan slack.
Yalah, diakan dari unit R&D. Ada masa dia kena juga turun site untuk buat research.

Kenapa ya, orang cantik macam ni nak juga mengharap kasih yang tak pasti dari aku? Lama. Bukan sebulan dua dia jadi pengirim bunga misteri kat aku. Dua tahun lebih rasanya. Dah beribu duit dia habis beli bunga untuk aku kot. Kenapa dia tak try nak letak kad pada bunga tu? At least letak nama ke, kan. Ni dia bagi dan sepi, aku pun sepikan diri ajelah.

“Cantik.” Ujarku perlahan. Dalam hati, aku dah tersengih lucu bila tengok pipi dia dah merah.

“Cantik bunga tu. Untuk siapa?” tambah aku lagi dan kali ni aku tengok pipi dia merah macam udang kena salai. Kepala pun makin tunduk. Agak dia ingat aku puji dia cantik kot tadi. Yasmin..Yasmin..

“Nak bagi boyfriend ke?” kalau nak diikutkan, inilah buat julung kalinya aku bertegur dengan Cik Yasmin. Tapi.. Bukan tegur nak mengayat ya, saja ajak sembang pasal bunga, nak tahu sejauh mana dia cuba main sembunyi-sembunyi dengan aku.

“Err.. Taklah. Kawan kirim.” Dia jawab, tapi sikit pun dia tak angkat muka. Nak pandang mata aku apatah lagi. Jaga mata. Bagusnya. Pandai mak ayah dia didik.

Aku seluk tangan kanan dalam poket. Bersandar santai kat dinding lif. Pantulan Cik Yasmin pada pintu lift aku perhati tanpa henti.

“I see. Tingkat 8 department account and credit kan? Siapalah agaknya orang yang kirim tu ya, Cik Yasmin? Ooh by the way, kenapa dia kirim dengan awak?”

“Arr.. Sebenarnya.. Hmm.. mak saya.” Gagap pula cik assistant R&D ni.

“Your mother?” tekanku. Nak tahu juga, apa kaitan dengan mak dia dalam cerita bunga ni.

“Dia ada kedai bunga.” Senafas dia jawab dan.. Ting!!! Sampai dah tingkat 8. Pintu terbuka. Ooh, mak dia ada kedai bunga. Patut pun hari-hari tanpa gagal dia bagi aku bunga. Lili kot, bukan bunga murah ya.

“Pergi dulu, Encik Qaiser.” Pamitnya dan terus melangkah laju namun masih kekal sopan.
Sebaik pintu tertutup, aku melepaskan nafas. Perlukah aku beri ruang dihati untuk dia menghuni? Ya Allah, fikirkan itu saja aku dah rasa bersalah sangat pada Delisha. Seakan aku cuba mengkhianati janji aku pada Delisha. Sedangkan janji tu semua dah lupus lama dulu. Aku belum mampu lagi.



“BOS, kali ni pergi seminggulah.” Kata Razali dari bahagian kejuruteraan.

“Mana cukup, kasi sebulanlah.” Tambah Lilian pembantu kewangan.

“Tak kisahlah berapa lama, yang penting kita pergi luar negara. Okey bos?” aju Raymond dari unit kredit.

“Lucky draw tahun ni nak grand prizes. At least Hyundai Santa FE sebiji, special edition ya.” Celah kak Nora dari HR. Aik, tu macam perli aje.

Aku rasa sekarang ni, dah tak macam meeting. Macam tengah lepak kat pasar awam. Dia orang punya excited, sampai ada yang bagi cadangan siap berdiri atas kerusi. Tergelak-gelak aku dengar cadangan masing-masing. Belum kira lagi yang sibuk berborak sesama sendiri tu. Riuh betul. Tak apalah. Bukan selalu pun. Bila dah macam ni, nampaklah yang kami satu bangunan ni walau tak sama floor tapi hubungan sentiasa elok.

“Okey, guys. Rileks.. rileks. Bagi saya cakap dulu, ya.” Nasib baiklah technician dah sediakan microphone. Kalau tak, jerit sampai tercampak anak tekak pun belum tentu dia orang dengar.

Senyap semula. Bagus. Dengar kata anak-anak buah aku ni. Aku berdiri diatas pentas. Senang sikit nak tengok staf-staf kat bawah sana.

“Saya suka cadangan Lilian tu, pergi sebulan. Boleh aje...” Dia orang dah bersorak sakan.

“Tapi suruh Lilian tanggung kos. Company mampu tanggung kos untuk 3 hari 2 malam aje.” Terus saja masing-masing boooo kat Lilian. Aku tergelak lagi.

“Pergi luar negara tu pun okey juga tapi tak dapat sebab Director kita nak buat annual dinner sekali masa malam last family day tu. Jadi ramai tetamu akan hadir malam tu. Karang kalau buat kat luar
negara, siapa aje yang nak datang majlis kita, kan?” Aku tergelak lagi bila turn aku pula kena booo. Bertuah punya anak buah.

“Jadinya saya bagi 3 pilihan, pandai-pandailah kau orang pilih, nak cabut undi ke apa. Janji jangan sampai bertumbuk, bergaduh atau update kat FB dengan status berbaur provokasi.” Mereka tergelak besar menyambut pesananku itu.

“Satu, A’Famosa. Dua, Lost World of Tambun. Tiga, Gold Coast...”

“Gold Coast!! Gold Coast!!” Aku tak habis cakap lagi dia orang dah terjerit sakan. Terkejut aku.

“Kejap. Kejap. Bukan Gold Coast Australia, ya. Ni Gold Coast kat Morib.” Terangku. Dan dia orang sakan boo rakan masing-masing. Aku tergelak sambil garu kepala. Pening.

“Jadi untuk memudahkan kerja saya, saya serahkan pada Bawang untuk tetapkan tarikhnya. Dan saya nak dalam setiap department, tolong wakilkan seorang untuk jadi ketua. Kerja-kerja susun atur majlis, saya nak Bawang dan ketua-ketua ni settlekan. Apa-apa yang perlukan kelulusan dan kebenaran saya, jumpa saya terus ya. Boleh?” Aku perhati pekerjaku satu persatu.

“Bolehhhh..!!” Bersemangat sekali jeritan mereka. Bagus.. Bagus..

“Saya tinggalkan awak semua dengan Bawang ya. Saya nak kena turun site lepas ni. Okey, kan?”

“Nak ikut..!!” Jerit mereka sambil tergelak-gelak. Aku tersengih aje sebelum berlalu turun dari pentas. Aku terus dapatkan Bawang. Dia sedang berbincang apa entah dengan Uncle Ravi.

“Hi, uncle.” Sapaku pada Uncle Ravi. Bawang pula terus naik ke atas pentas, menggantikan tempatku.

“Hello, kid.” Balas Uncle Ravi mesra.

“Uncle, don’t kid me aroundlah, please. Malu saya.” Cebikku. Uncle Ravi tergelak saja.

“You still a kid to me lah, Qai. Tak boleh ubah sudah. Ohh, ya. Tentang my retirement, I ada discuss with your father. He said, tempat I akan digantikan by my assistance. Position for assistance will be replace by other junior. Then your father suruh iklankan jawatan for junior accountant saja.”
Aku angguk dengan dahi sudah mula berkerut.

“Peninglah saya, uncle. Uncle tak payah pencenlah.” Gurauku.

“Eh, mana boleh. I sudah jadi emas sekarang, you tau? Kena duduk rumah, takut orang rompak.” Ujarnya dan kami tergelak kecil. Fahamlah maksud emas tu. Tapi tak adalah warga emas mana pun, nampak muda aje uncle ni. Macam ayah juga. Aktif lagi.

“You jangan risau. My assistance very commited and responsible person tau. Apa nak pening?”

“About Miss Lilian tu saya okey aje. Sebab ayah pun cakap dia bagus, jujur dan kuat kerja. It’s about position for GM. You tahu tak siapa yang bakal pegang jawatan tu? Saya tak puas hati sangat dengan dia sebab dia punya taste.. High class!! Over sangatlah.”

Uncle Ravi senyum sikit. Nak bagi aku lapang hati dan bersabar kot.

“I tak pasti sangat pasal tu. But I heard your father dah lama ada calon for that position. Cuma orangnya tak ready lagi.”

“Saya dah agak dah. Uncle, you tahu tak siapa? Kenapa ayah tak cakap dengan saya, eh?” Selalu aku tanya pun jawapan ayah mesti sama sejak jawatan GM tu kosong. Katanya, biarkan dulu. Apa-apa yang perlukan pemerhatian GM, ayah suruh rujuk pada dia saja.

“I don’t know. Dia ada mention orang tu anak one of our partnership. But I’m not sure which one.”

“Bukan ke mereka semua sleeping partner saja?” Bunyi riuh dewan dah tak aku hiraukan. Memang tengah fokus habis pada uncle Ravi aje sekarang ni.

“Betul. Tapi sebab semua partner pun sudah tua, kasi tidur baik-baik sajalah.” Uncle Ravi tergelak besar.

“And for the sake of time, their children pun makin membesar. This is the time for the next generation lah to take over the company, then. Kan?”

Aku terdiam sejenak. Cuba menggali fakta dari dalam kepala. “Uncle, saya tak faham satu ni. As what I know, bukankah partnership main peranan dalam membantu sistem kewangan, technical knowledge and business connections saja?”

“Ya, betul. Betul. Tapi you terlupa, they help us in talents as well. Membantu kita untuk cari pekerja yang mahir dan bertanggungjawab.”

Ohh, betul juga. Macam mana aku boleh terlupa part tu? Tapi siapakah dia? Anak partner ayah yang mana satu? Setahu aku, partner ayah ada lima orang kalau tak silap. Curious sungguh ni.

“Tapi kenapa ambil masa setahun lebih nak masuk kerja?”
Uncle Ravi angkat bahu.

“I pun tak pasti, yang I tahu bakal GM kita tu baru habis studi. Dan I ada dengar juga, tak lama lagi dia akan mula kerja dah. Soon. Cuba you tanya dengan your father. Mungkin dia lupa nak inform you.” I see.. patutlah sibuk nak ubahsuai pejabat tu. Penghuninya dah nak masuk. Banyak juga perjalanan syarikat yang ayah buat tanpa pengetahuan aku.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post