Sunday, April 8, 2018

Lili (Bab 5)




Bab 5
AKU bersila sambil berpeluk tubuh. Isyarat aku tak mahu berlembut mahupun dipujuk. Aku nak dengar penjelasan dari mereka berdua. Mungkin dari Noah yang baru masuk juga. Memandangkan mereka bertiga sangat akrab, maka aku sangat pasti ada sesuatu yang cuba mereka rahsiakan dariku.
            "Tak nak cerita?" soalku sedikit sinis. Aku pandang mereka seorang demi seorang. Dari Eidlan yang bersila paling kanan, diikuti oleh Rei dan kemudian pada Noah yang lebih selesa berdiri sambil bersandar sendeng. Santai saja dengan kedua belah tangan disimpan di dalam poket jeansnya.
            "Tolonglah usu, terangkan pada Dyra. Dyra nak tahu, kenapa selama ni usu kongkong hidup Dyra? Apa salah Dyra?"
            Eidlan tarik nafas dan dihembus keluar. Matanya merenungku, tapi seakan tembus entah ke mana. Jauh menungnya.
            "Okey, tak apa. Kalau usu, Rei dengan si gay ni tak nak cerita, tak apa. Dyra tak kisah. Esok juga Dyra pergi buat date dengan lelaki yang ada kat luar sana. Selagi usu tak cerita apa sebab usu buat Dyra macam ni, selagi tu Dyra akan ajak mana-mana lelaki keluar dengan Dyra." Tekanku. Memprovok.
            "Tak boleh." Balas Eidlan, tegas. Wajahnya serius. Rei hanya menunduk, merenung lantai tatami.
            "Kenapa tak boleh?" Cabarku. Aku balas dengan berani renungan bapa saudaraku.
            "Kalau usu cakap tak boleh, maksudnya tak boleh!" Tekan Eidlan sedikit meninggi. Matanya dijegil garang. Belum pernah lagi Eidlan meninggi suara sebegini pada aku, satu-satunya anak saudara yang dia ada. Jangankan tengking, nak marah aku pun selama ni Eidlan akan fikir berpuluh kali. Tapi malam ni.. Kenapa? Kenapa Eidlan jadi macam ni?
            "Eid, cool down." Celah Rei, cuba meredakan kemarahan Eidlan. Eidlan marah kerana aku mencabar kesabarannya. Aku tahu Eidlan bukan jenis orang yang boleh bersabar bila dicabar atau ditentang.
            "Dyra, Dyra pergi masuk bilik dulu. I.."
            "Dyra tak nak. Dyra nak dengar penjelasan dari usu dulu. Kalau tak, Dyra takkan berganjak ke mana-mana." Pintasku pada bicara Rei namun mataku sedikit pun tak beralih dari membalas renungan tajam Eidlan.
            Demi sebuah kebenaran, apa nak jadi pun, jadilah. Aku tetap nak tahu kenapa  Eidlan terlalu mengawasiku selama ni tanpa pengetahuanku. Kenapa pergaulanku disekat? Kenapa aku tak dibenarkan berkawan dengan sesiapa? Kenapa?
            "Tak ada apa yang perlu usu jelaskan. Apa yang Dyra kena tahu, mulai saat ini, usu tak nak lagi Dyra kenal atau berkawan dengan orang luar. Full stop!" Tekan Eidlan. Tak mahu berkompromi.
            "Tapi kenapa? Kenapa Dyra tak boleh hidup macam orang lain? Dyra ni bukan orang ke? Kenapa perlu protect Dyra sampaikan Dyra nak berkawan pun tak boleh? Usu, Dyra nak bebas!" Sedikit meninggi suaraku.
            "Usu tak pernah kurung Dyra. Dyra nak ke mana selama ni, pernah ke usu halang? Kebebasan apa lagi yang Dyra perlukan?"
            "Kebebasan? Kebebasan apa yang usu bagi pada Dyra? Dyra nak berkawan pun usu tak bagi. Kebebasan ke tu? Tadi, Dyra dengar dah semuanya. Selama ni usu yang suruh Rei rosakkan semua date Dyra dengan kawan-kawan Dyra. Apa ni, usu? Dyra bukan budak-budak lagi, usu tahu tak? Dyra dah 17 tahun. Dyra ada life Dyra sendiri. Dan usu tak ada hak nak rampas kebebasan hidup Dyra!" Bukan niat aku nak menjerkah Eidlan, tapi aku tak mampu hendak mengawal amarahku.
            "Dyra..!" Jerit Eidlan dengan wajah berangnya. Melihatkan wajahnya, aku tahu Eidlan marah. Marah dengan sikapku yang sudah berlaku biadap. Tapi melihatkan matanya, aku nampak Eidlan kecewa. Kecewa dengan sikapku yang jelas sudah melampaui batas. Aku membuang pandang, melarikan mata dari renungan Eidlan.
            "Eid.. sabar dulu." Celah Rei yang sejak tadi jadi pemerhati pertelingkahan kami berdua. Sekilas, aku terpandang Rei dan Noah. Rei lempar pandangan belasnya padaku. Aku biarkan sepi. Noah? Hanya menjadi pemerhati tanpa sebarang riak di wajahnya.
            Eidlan melepaskan keluhan kasar. Dia bersandar namun matanya terus merenungku.
            "Dyra, I don't know how to explain everything to you. Dan usu tak tahu apa reaksi Dyra kalau usu tell the truth. But one thing you should know, Dyra adalah amanah yang arwah mama dengan papa serahkan pada usu. Tugas usu adalah menjaga keselamatan awak dari sebarang ancaman..."
            "Tapi Neiko bukan ancaman. Izumi pun bukan ancaman. Keito pun. Dia orang cuma nak kawan rapat dengan Dyra aje." Pintasku.
            "Kita tak tahu siapa yang akan jadi ancaman pada diri kita, Lili Eldyra. Musuh ada di mana-mana. Dan tak ada malang yang berbau. Jadi usu perlu sentiasa alert supaya awak selamat." Tekan Eidlan.
            "Nak selamatkan Dyra dari apa? Dari siapa? Musuh? Musuh apa? Kalau ada yang serang Dyra pun, tu semua musuh Rei. Tak ada kaitan dengan Dyra. Stoplah, usu. Jangan bodohkan Dyra boleh tak?"
            "You ada musuh, Dyra!" tengking Eidlan semakin hilang sabar. Dan buat seketika, aku terdiam. Membalas renungan mata Eidlan yang terjegil. Dapat aku rasakan bibirku bergetar, cuba menutur bicara namun gagal. Aku ada musuh?
            "Eid, I don't think this is the right time." celah Rei, cuba meredakan kemarahan Eidlan.
            "Budak degil." Tambah Noah, dingin.
            "Let her be. Dia yang nak sangat tahu." balas Eidlan. Dia mengengsot sedikit, merapatiku. Jemariku dicapai dan digenggam. Kami berpandangan.
            "Macam yang Rei cakap, ini bukan masanya untuk usu ceritakan. Tapi Dyra yang paksa usu. Ingat, lepas usu cerita semua ni, usu nak Dyra berubah. No more the mellow Lili Eldyra. I want you to be Eldyra yang keras hati, heartless, fearless, berani dan gah."
            Aku picingkan mata. Tak faham. Kenapa aku perlu berubah?
            "Sebelum usu cerita, usu nak Dyra tahu, Dyra tak ada pilihan lain selain berubah dan keep moving forward. Dyra rasa, Dyra dah sedia nak dengar semua ni?"
            Raut wajah Eidlan yang kelihatan serius membuatkan aku mula bertingkah dengan perasaan sendiri. Bersediakah aku untuk mendengar penjelasan Eidlan? Dapatkah aku terima semua itu nanti?
            Dyra, kau yang nak sangat tahu kenapa selama ni kau dilayan seperti seorang pesalah di dalam penjara. Kau terkurung biarpun kau nampak macam bebas untuk ke mana saja. Setiap pergerakkan kau diintai dan diekori. Kau tak dibenarkan menjalinkan persahabatan dengan sesiapa malah Eidlan cuba menghalang setiap kali kau cuba rapat dengan seseorang.
            Jadi Dyra, bersediakah kau untuk dengar semua penjelasan Eidlan?
            Aku menarik nafas sedalamnya, cuba meraih kekuatan kerana aku tahu, apa yang bakal Eidlan katakan mungkin sesuatu yang aku tak mampu untuk terima begitu saja. Aku pejamkan mata seketika sebelum kembali kubuka dan wajah Eidlan aku cari. Dia menanti butir bicara dariku.
            "Dyra, you tak perlu paksa diri you." celah Rei, memujuk nadanya. aku menggeleng. It's either now or never.
            "Shoot." Ujarku pada Eidlan. Kami bertatapan. Dalam.
            "Selama ni usu sembunyikan Dyra dari orang yang buru Dyra. Orang yang sama yang dah bunuh arwah mama dan papa Dyra."
            Aku picingkan mata. Mencari kebenaran dalam setiap butir bicara Eidlan tadi. Mama? Papa? Bunuh? Bukankah mama dan papa..
            "Ya, usu tipu Dyra. Usu cakap mama dan papa Dyra meninggal sebab kemalangan. Sebenarnya, tak. Kemalangan papa dan mama Dyra dirancang, dan mereka meninggal di tempat kejadian. Waktu tu, mama Dyra masih bernyawa dan dia cuba bertarung untuk lahirkan Dyra. Usu cuba dapatkan bantuan dan kebetulan daddy lalu kat kawasan tu. Masa tu kami tak ada pilihan lain selain sambut kelahiran Dyra kat tempat kejadian. Lepas Dyralahir, mama Dyra pun pergi."
            Aku tatap mata Eidlan sedalamnya. Mengharapkan apa yang dia katakan hanyalah gurauan semata. Bila dia masih tega membalas renunganku, aku kemam bibir. Cuba menahan diri dari terhambur tangisan. Sikit pun aku tak peduli pada pandangan mataku yang semakin kabur.
            "Ma.. Mama.. Papa.. Papa.." Aku menggeleng. Tak percaya. Aku tak mahu terima kenyataan tu. Eidlan sentuh lembut pipiku. Airmataku yang mengalir, disapu perlahan.
            "I'm sorry, dear. Tapi ini yang Dyra nak sangat tahu, dan inilah kebenarannya. Apa yang usu nak, lepas ni Dyra bangunlah. Tak selamanya usu dapat sembunyikan Dyra. Dyra kena belajar untuk jadi kuat. Dyra tak boleh jadi lemah lagi sebab sampai masa, Dyra perlu berdepan dengan musuh yang dah tahu tentang kewujudan Dyra. Dia sedang buru Dyra."
            "Dia orang.. tak.. tak tahu Dyra.. Dyrawujud sebelum ni?"
            "Dia orang ingat Dyradah meninggal dalam kandungan mama Dyramalam tu. Dia orang tak tahu kami berjaya sambut Dyra lahir dan daddy terus bawa kita ke sini."
            "Daddy?"
            "Ya, daddy tahu ada orang nak buru Dyra. Dia yang selamatkan kita dan dia yang sembunyikan kita selama ni. Rei dan orang-orang dia pula tak pernah berhenti mengawal kita. Sebab tu usu kawal pergerakan Dyra, pergaulan Dyra sebab daddy dah pesan awal-awal, sesiapa pun boleh jadi musuh Dyra. Dan Dyra tak tahu apa niat mereka nak rapat dengan Dyra."
            "Macam mana dia boleh tahu.. tahu yang Dyrahidup lagi?"
            "Usu tak pasti. Ada kemungkinan mereka perasan bayi yang mama Dyra kandungkan tu dah tak ada dalam perut dia waktu kejadian."
            "Malam Dyra kena serang hari tu...?" Aku tatap dalam-dalam mata Eidlan. Minta kepastian. Bila Eidlan mengangguk, aku rasa nak meraung kuat. Patutlah Rei mengamuk sakan. Dia marahkan orang suruhannya kerana cuai dalam menjaga keselamatanku. Dan yang paling penting, musuh dah berjaya menemui kedudukanku.
            "Kenapa? Kenapa dia orang buru Dyra? Apa yang dia orang nak dari Dyra?" Mesti ada sesuatu. Mesti. Kalau tak, takkan aku diburu dan.. mama aku dibunuh. Papa aku dibunuh. Kejam! Mereka kejam!
            "Sesuatu yang usu sendiri tak tahu ianya wujud atau tak."
            Aku picingkan mata yang sejak tadi tak henti-henti mengalirkan airnya. Sesuatu?

KETUKAN bertalu-talu dari luar kamar, aku biarkan tanpa ada niat untuk membalas panggilan mahupun untuk membuka pintu. Tolonglah, usu. Jangan ganggu Dyra. Tolonglah bagi Dyra masa untuk Dyra bersendirian.
            “Dyra, please. Open the door.” Suara Eidlan kedengaran memujuk, sama seperti sejak dua hari yang lalu. Sejak aku bertindak mengurung diri di dalam bilik. Shoji dicipta tanpa kunci, dan sebenarnya Eidlan boleh saja masuk walaupun aku tak benarkan. Tapi kerana Eidlan hormatkan 'ruang peribadi' yang aku miliki, dia tetap menanti aku memberikan keizinan untuk dia masuk.
            “Dyra, dah dua hari awak berkurung macam ni. Tolonglah jangan dera diri Dyra sendiri. At least, kasihankanlah cacing dalam perut Dyra tu. Nanti cacing-cacing tu mati kelaparan.”
            Aku memeluk kuat kedua belah lututku. Kepala tersemban di atas kepala lutut. Cacing mati? Aku tergelak dalam kesakitan. Kita tengok, antara aku dan cacing, siapa yang akan mati terlebih dahulu. Eloklah kalau aku yang mati dahulu, sebab aku tak nak menggalas beban sebesar ini. Dan seandainya itu berlaku, setidak-tidaknya aku dapat bertemu dengan arwah mama dan papa. Aku kemam bibir. Tak mampu lagi untukku hamburkan airmata.
            “Dyra, usu tahu Dyra kuat. Menangislah. Menangis sepuas hati Dyra. Bila Dyra dah puas lepaskan perasaan Dyra tu, usu nak Dyra bangun. Usu tak nak tengok sisi Dyrayang lemah ni lagi. Banyak benda yang Dyra perlu belajar untuk berdepan dengan musuh Dyra."
            Bangun? Tak mudah, usu. Semua tu bukan mudah. Aku hanya gadis remaja yang masih mahu mengejar dunia yang berwarna-warni. Dan tiba-tiba, aku diberikan satu beban yang sangat berat di bahuku. Dan tiba-tiba aku dapat tahu tentang musuh yang sedang memburuku. Tak mungkin semudah itu untuk aku terima semua ni.
            Sejak kecil, aku percaya bila Eidlan cerita tentang pemergian arwah mama dan papa adalah disebabkan oleh kemalangan. Hampir tujuh belas tahun aku hidup berpegang pada cerita Eidlan tu, tetapi siapa tahu semua tu hanyalah satu penipuan. Dan kebenarannya, arwah mama dan papa meninggal kerana dibunuh. Siapa mereka hingga sanggup meragut nyawa kedua ibubapaku? Siapa?
            Aku pejam mata rapat. Menahan airmata dari kembali mengalir. Patutkah aku menyesal kerana memaksa Eidlan menjelaskan semua yang tersembunyi selama ni? Aku menggeleng. Bukan salah Eidlan,. Ya, bukan salah Eidlan. Aku yang paksa Eidlan cerita semua tu dan siapa sangka kebenaran tu tak seremeh yang aku sangkakan.
            “Usu turun dulu.” Belum beberapa saat, kedengaran Eidlan menambah bicaranya.
            “Lili Eldyra, Dyra kena ingat siapa diri Dyra. Bila Dyra kecewa dan lemah macam ni, ramai yang akan bertepuk tangan dan senang-senang mereka akan tamatkan riwayat Dyra. You know what,  if the world wanna break your heart, let it be. But don’t let it break your spirits. Ingat pesan usu ni. By the way, I love you.”
            Pelukkan pada lutut, aku eratkan. Bibir aku gigit semakin kuat. Dada sebu, terasa seakan ingin pecah. Kenapa? Kenapa perlu aku berdepan dengan takdir sekejam ini? Kenapa semua ni berlaku padaku? Kenapa sebesar ini dugaan yang aku perlu hadapi?

AKU usap bulu putih Yuuri. Dia leka dengan carrot yang sedang dikunyahnya. Aku renung Yuuri, namun yang aku nampak bukan arnab kesayanganku ni. Sebaliknya, aku seakan terlihat figura mama dan papaku. Mama dan papaku pernah aku temui dan yang tak pernah aku lihat wajah mereka. Mama.. Papa..
            "Yuri... kau sedih tak, hidup tak ada mama dengan papa?" soalku bersama sendu. Pandangan dah mula kabur dengan airmata. Rupa Yuuri pun dah berbalam-balam. Pun aku terus bertinggung di tengah laman, mengusap bulu Yuuri yang lembut.
            "Kat mana parents kau sekarang ya, Yuuri? Kau tak teringin ke nak jumpa dia orang? Yuuri, by any chance.." Aku cuba menahan sendu.     
            "By any chance.. Pernah tak kau.. Kau tengok muka.. Muka mama dengan papa kau..?" Aku tutup mulutku dengan tangan kiriku. Menahan esak tangis. Yuuri sedikit tersentak bila airmataku jatuh lalu menitis di atas hidungnya.
            "Aku tak pernah tengok muka mama aku, Yuuri. Muka papa aku pun aku tak tahu.. Tak tahu macam mana." Dan aku teresak semahu hati.
            "Dyra.." aku tak hiraukan panggilan Eidlan tu. Aku terus menangis, menangis dan menangis. Yuuri aku angkat dan aku bawa dalam pelukkan. Dan aku menangis lagi dengan penuh rasa hiba. Terasa diri sangat kasihan kerana tak punya mama dan papa. Malah tak pernah tahu bagaimana wajah mama dan papaku sendiri. Sampainya hati orang yang bunuh mama dan papa. Sampainya hati..!
            "Kenapa bunuh mama Dyra? Kenapa bunuh papa Dyra? Kenapaaa??" jeritku menghambur rasa marahku, entah pada siapa. Aku mengongoi kuat. Aku tersembam dalam pelukkan entah siapa. Aku tak dapat nak fikir apa-apa lagi. Aku dikawal sepenuhnya oleh emosi. Semua yang Eidlan sampaikan malam tadi, satu kejutan yang sangat besar dan berat untuk aku terima. Siapa yang mampu terima bila dapat tahu mama dan papa sendiri dibunuh?
            "Dyra.. Jangan macam ni. Be strong, dear." Pujuk orang yang memelukku. Dia mengusap kepalaku. Penuh kasih sayang. Aku kenal pelukkan ni, aku kenal suara yang memujukku ni. Aku lepaskan Yuuri dan membalas pelukkan daddy.
            "Daddy..." Aku tersendu lagi.
            "Ya, sayang. Daddy ni."
            "Kenapa dia bunuh mama Dyra? kenapa bunuh papa Dyra? Dyra sedih."
            "Syhhh.. Dyra jangan sedih lagi. Sepatutnya, bila Dyra dah tahu semua ni, Dyra kena jadi lebih kuat. Kalau Dyra lemah, macam mana Dyra nak berdepan dengan orang yang dah bunuh mama dan papa Dyra?"
            "Tapi Dyra tak mampu.."
            "Dyra.. Tengok sini. Tengok daddy." Daddy renggangkan pelukkan. Dia pegang erat kedua belah bahuku, memaksaku menghadapnya, memandang wajahnya. Bila aku masih tersedu sambil menunduk, daddy sentuh daguku dan diangkat sedikit. Dalam terpaksa, aku tatap jua mata daddy.
            Daddy tersenyum, memberikan aku semangat. Daddy usap ubun-ubunku. Makin lebat airmataku mengalir, membasahi pipi.
            "Dyra, daddy nak Dyra tahu. Daddy sayang sangat pada Dyra. Daddy tak pernah anggap Dyra anak angkat daddy sebab pada daddy, Dyra pun anak daddy juga. Malah Dyra lebih istimewa pada daddy sebab daddy sendiri yang sambut waktu Dyra lahir tau. Anak-anak daddy yang lain pun daddy tak sambut. Sebab tu, daddy sayang Dyra macam anak daddy sendiri." Daddy senyum lagi. Aku diam menahan esak.
            "Daddy tahu, Dyra sedih. Daddy tahu, bukan senang nak terima kenyataan bila dapat tahu keluarga kita pergi dengan cara macam tu. Daddy faham apa yang Dyra rasa. Kalau daddy kat tempat Dyra pun, daddy akan down macam ni." Daddy sapu lembut airmata di pipiku. Matanya nampak memerah.
            "Bangkitlah, sayang. Bangun. Daddy nak Dyra tahu, walaupun Dyra tak ada mama dan papa, Dyra ada daddy, ada ojii-san, ada Uya, ada Sandra, ada Eid, ada Rei, ada Noah. Kami semua sayang Dyra lebih dari segalanya. Bila Dyra sedih, bila Dyra jatuh macam ni, kami rasa kesakitan tu."
            "Tapi mama dengan papa.." Aku mula teresak kembali. Daddy tarik aku kembali ke dalam pelukkannya.
            "Syhh.. No more cry, dear. Daddy nak Dyra kuat. Bila Dyra dah bersedia, daddy akan bawa Dyra melawat kubur mama dan papa Dyra kat Malaysia. For now, daddy nak Dyra cool down dulu."
            Aku tarik tubuhku dari pelukkan daddy. Wajah daddy aku cari, menangih janjinya.
            "Betul?"
            Daddy tersenyum, yakin dan jelas.
            "Janji. Kalau daddy terlupa, Dyra ingatkan daddy. Okey?"
            Aku tersenyum meski mata masih kabur dengan airmata. Mama.. Papa.. Tunggu Lili, ya. Nanti Lili pergi melawat mama dengan papa.
            "Hmm.. Tengok. Macam ni cara memujuk." Ujar daddy agak kuat. Aku berkerut dahi melihat daddy yang sudah tergelak kecil. Dia menoleh ke belakang, aku ikut pandang. Kelihatan Eidlan, Rei dan Noah duduk berjuntai kaki di engawa, memerhatikan kami.
            Aku nampak Eidlan kesat air mata. Rei tutup muka, menangis barangkali. Noah? Dia beku, sekadar merenungku. Dalam.
            "Tiga orang jejaka kacak, satu pun tak boleh nak pujuk anak daddy ni. Nak daddy juga yang pujuk, ya." Usik daddy lalu mencuit hujung hidungku. Aku tergelak bersama daddy.
            Seketika, aku menoleh pada jejaka bertiga tadi. Aku picingkan mata sebagai tanda amaran yang aku belum maafkan mereka lagi.

AKU gigit bibir sendiri dengan dahi berkerut. Ini mesej dari siapa? Sejak kejadian malam tu, aku hampir terlupa untuk hidupkan kembali telefon bimbitku. Hari ni baru teringat nak beri nyawa pada si kecil ni. Hidup saja nyawa, terus masuk pesanan ringkas bertalu-talu. Ada beberapa dari nombor yang sama. Dan lebihnya dari nombor luar negara. Nombor mana ni? Macam nombor dari Malaysia., sebab waktu Tetsuya menetap di sana, kami selalu juga berhubung.
            -Eldyra, awak okey ke? Kenapa tak balas mesej saya? Kenapa saya call tak dapat? Awak buat saya risau.
                -Eldyra, awak marah saya ke? Saya minta maaf. Bukan saya sengaja tinggalkan awak hari tu. Saya ada hal penting nak uruskan.
                -Eldyra, saya betul-betul tak sedap hati. Awak okey ke tak ni? Mana awak pergi?
                -Tolonglah, Eldyra. Maafkanlah saya. Saya ikhlas nak kawan dengan awak.
                -Eldyra, kenapa senyap aje? Is everything okay? Atau kekasih pakcik awak tu yang tak bagi awak berhubung dengan saya?
                -Eldyra..
            Dan mesej yang seterusnya, masih ayat yang sama. Minta maaf dan bertanya tentang keadaanku yang terus-terusan menyepikan diri. Aku rasa aku tahu dia ni siapa. Tentu Za'id. Bukankah waktu di Rusutsu, dia yang menemui telefon bimbitku? Dan penyambut tetamu di resort itu pun ada pesan yang Za'id akan menghubungiku sendiri.
            Baru berkira-kira nak menaip untuk membalas pesanan tu, telefon bimbitku tiba-tiba dirampas. Aku terngadah. Wajah Noah di hadapanku, aku renung tajam. Tak puas hati. Dia masukkan telefonku ke dalam poketnya lalu bersandar tenang sambil membalas renunganku. Dia tayang muka tak berjiwa.
            Aku menadah tangan dengan raut tegang. Tapi Noah sedikit pun tak hairan. Masih mampu menjungkitkan keningnya, seakan mencabar kesabaranku.
            "Bagi balik telefon Dyra tu." tekanku.
            "Tak nak." balas Noah, bersahaja. Aku picingkan mata. Aku dah berapa hari tak ada mood nak layan orang dalam rumah ni, hari ni dia nak buat aku bertambah sakit hati pula. Orang lain sibuk memujukku, makhluk satu ni aje yang tak sudah-sudah nak cari pasal denganku. Agaknya, boleh putus kot nyawa dia kalau tak buat aku marah.
            "Dyra minta baik-baik, kan. Bagi balik."
            Dia sua poketnya padaku. "Ambillah." Dia mencabar. Aku tarik nafas dalam-dalam dan aku hembus kasar. Aku tak ada mood nak bergurau sekarang ni. Okey, nak aku ambilkan?
            Aku majukan langkah mendekati Noah dan dengan pantas aku seluk tanganku ke dalam poket seluar jeansnya. Bagaikan sudah mengagak tindakkanku, Noah terus menepis tanganku. Kami bergelut, masing-masing tak mahu mengalah. Dek kerana terlalu marah dan geram, aku gigit bahu Noah. Noah terjerit. Sakit dan terkejut. Dia menolak tubuhku agak keras hingga aku dapat rasakan tubuhku hampir tersembam di atas lantai.
            Mujur Noah sempat menarik tanganku, dan aku tersembam di atas dadanya. Mungkin kerana tindakkannya yang spontan, dia tak mampu mengimbangi tubuhnya hingga dia terlentang bersama aku yang masih berada di atas dadanya.
            Seketika, aku terdiam. Aku cuba mengawal rasa terkejutku kerana hampir-hampir nak tersembam tadi. Turun naik nafasku dek kerana penat bergelut dengan Noah tadi. Eh? Noah? Bukan tadi aku jatuh atas dada dia ke? Err..?
            Aku rapikan rambut yang sedikit menutup pemandangan. Aku pandang dada Noah, seketika aku mencari mata Noah. Kami berpandangan. Sedetik, dua detik.. Aku seakan hilang dalam renungan tu. Kenapa aku tak rasa 'dingin' seperti setiap kali kami berpandangan? Bukankah renungannya mampu membekukan air yang sedang hangat? Tapi kenapa kali ni, aku rasa pandangan tu berbeza?
            "Lili.." Panggil Noah. Sedikit berbisik. Aku diam. Menahan degupan jantung yang berdegup lebih laju dari sepatutnya. Inilah buat pertama kali aku menatap mata Noah dengan jarak tak sampai dua sentimeter pun. Baru aku tahu, mata dia cantik. Bersinar-sinar. Malah, setiap helaan nafasnya, aku mampu kira. Tapi, kenapa dia suka panggil aku Lili, ya?
            "Jangan berhubung dengan orang yang kau tak kenal." tutur Noah. Kenapa pesanan dia tu kedengaran seperti alunan lagu cinta yang indah? Eh, kenapa dengan aku ni? Takkan jatuh cinta dengan gay?
            "Janji dulu kau takkan layan mesej lelaki tu, baru aku bagi balik telefon kau." tambah Noah lagi. Janji? Sejak bila Noah pandai menyimpul janji denganku?
            "Janji?" Desak Noah, menagih janjiku. Aku diam, menatap terus matanya. Dalam kepala dah mula datang macam-macam muslihat keji.
            "Noah.." Panggilku, sedikit berbisik. Aku rapatkan lagi wajah kami. Noah pandang mataku, menanti bicara dariku. Tapi dia tak mampu menyembunyikan rasa terkejutnya dengan tingkahku yang semakin berani  secara tiba-tiba. Jangan risau, dia takkan buat apa-apa padaku punya. Sebab dia punya selera hanya pada lelaki saja. Aku gelak keji dalam hati.
            "Kenapa awak kacak sangat? Awak buat Dyra melting." bisikku hangat. Percayalah, inilah buat pertama kali aku berkelakuan 'panas' macam ni. Dengan gay pula tu.
            Noah terdiam. Aku pandang matanya berselang-seli dengan bibirnya. Bagaikan memahami keinginanku, dia semakin merapatkan bibirnya padaku. Sikit lagi. Sikit lagi nak dapat telefon aku ni. Jumpa. Aku terus tarik tangan yang sejak tadi berada di dalam poket seluar Noah.  Namun tiba-tiba..
            "Ini aje ke trick yang kau mampu buat?" soal Noah tiba-tiba saat bibir kami hampir bersentuhan. Aku terdiam, terkejut. Telefon yang sudah hampir keluar dari poket, tersekat bila Noah menepis tanganku. Sepantas itu juga dia menolak kepalaku. Dia terus duduk sekaligus buat aku tertolak ke tepi. Dia pandang aku dengan senyuman sinis.
            "Kenapa? Kecewa tak dapat cium aku?" soal Noah buat aku genggam penumbukku.
            "Sayangnya, kau bukan taste aku. Jadi aku terpaksa kecewakan kau." Tambah Noah lagi. Dia bangun dan berdiri di hadapanku. Aku ketap bibir bila Noah tayang senyum kemenangan.
            "Buat sementara ni, bagi aku pinjam telefon kau ya. Oh, jangan risau. Semua mesej Za'id tu, aku akan balaskan bagi pihak kau. Apa ya yang patut aku balas untuk semua mesej dia tu?" Noah melangkah perlahan ke arah shoji. Dia menoleh padaku seketika. Sebuah senyuman yang penuh dengan muslihat, dia berikan buat tatapanku.
            "Mungkin aku patut balas macam ni. Za'id yang kacak, jangan risaukan saya ya. Saya okey cuma tadi saya baru lepas bercium dengan si Noah gay tu. Walaupun dia gay, tapi dia lebih kacak dari awak, Za'id. Dan dia dah berjaya buat saya melting. Ikhlas dari, Eldyra yang comel." Bersama ayat terakhir itu, Noah terus melangkah pergi tanpa menoleh padaku lagi. Aku tarik nafas dalam-dalam dan..
            "Noah..!!!!" Jeritku bersama rasa marah dan sakit hati. Tak guna! Dia baca semua mesej aku! Dia intai aku dari tadi ke apa, ha?
           

No comments:

Post a Comment

Featured Post

Friendship Goals - Bab 5

Popular Post